Hassan Abdul Karim

JOHOR BAHRU – Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Mohd Na’im Mokhtar tidak sewajarnya mendedahkan cadangan berkenaan pensijilan halal mandatori di kedai-kedai makan bukan Islam sebelum dibincang dan dimuktamadkan oleh Kabinet.

Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim mempersoalkan tindakan Mohd Na’im itu yang didakwanya memulakan kontroversi berkenaan isu tersebut sehingga menjadi polemik ketika ini.

Malah katanya, isu tersebut kini sudah dikatakan menyentuh perkara berkenaan raja, agama dan kaum (3R) selepas komen diberikan Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok baru-baru ini.

“Kenyataan Dr Mohd Naim adalah satu cadangan dasar awam berkaitan satu peraturan mandatori daripada segi peraturan yang sedang dikaji oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

“Soalan pertama yang kita ingin tanyakan ialah adakah cadangan berkenaan pensijilan halal mandatori di kedai-kedai makan bukan Islam itu telah dibincangkan dalam jemaah Menteri?

“Soalan kedua, adakah Menteri Hal Ehwal Agama boleh umumkan di khalayak awam satu dasar kerajaan yang melibatkan undang-undang dan peraturan yang masih belum diluluskan oleh Kabinet?

“Perbincangan pun belum diadakan dalam Kabinet berkenaan cadangan tersebut,” soal beliau dalam satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini.

Teresa sebelum ini dilaporkan berkata, pelaksanaan pensijilan halal seharusnya bersifat sukarela bagi membolehkan pengusaha membuat keputusan berdasarkan permintaan pasaran, bukan secara paksa.

Ahli Parlimen DAP itu mendakwa, cadangan mewajibkan restoran dan syarikat makanan memiliki sijil halal hanya akan menambah kesukaran operasi perniagaan dan beban kepada perniagaan kecil.

Mengulas lanjut, Hassan turut mempersoalkan siapa yang terlebih dahulu mencetuskan kontroversi berhubung isu berkenaan sehingga menjadi kontroversi sama ada Teresa atau Dr Mohd Naim.

Katanya, Teresa hanya memberikan satu reaksi terhadap dasar kerajaan yang masih baru dibincang pihak Jakim sedangkan kajian menyeluruh pun belum dibuat apatah lagi dibawa ke Kabinet.

Kenyataan Teresa katanya, didakwa satu kesalahan di bawah 3R kerana dianggap menimbulkan keresahan dan kegentaran serta kemaraham awam dalam kalangan orang Islam.

“Maka kita ingin bertanya bagaimana dengan kenyataan Dr Mohd Naim tentang satu cadangan yang belum lagi diputuskan Kabinet yang jelas telah menimbulkan keresahan, kegentaran dan kemarahan sesetengah orang bukan Islam?

“Adakah kenyataan Menteri Hal Ehwal Agama itu tidak termasuk dalam kategori pelanggaran 3R? Adakah hanya apabila orang Islam berasa resah, gentar dan marah maka satu pelanggaran 3R berlaku?

“Adakah sebaliknya jika orang bukan Islam merasa resah, gentar dan marah maka pelanggaran 3R tidak berlaku. Adakah wujud sistem hukum dua darjat di Malaysia yang kita cintai ini,” soalnya lagi.

Justeru kata Hassan, semua pihak perlu jujur kerana tujuan tidak menghalalkan cara.

Bagaimanapun beliau tidak menafikan cadangan yang diumumkan Menteri Agama itu adalah bagus.

Namun katanya, cara pengumuman yang mengejut dan terburu-buru itu adalah salah dan tidak profesional bagi seorang menteri kerajaan Persekutuan.

“Cara yang betul ialah Dr Mohd Naim selaku Menteri Hal Ehwal Agama perlu mengarahkan satu kajian yang lengkap tentang cadangan mengenakan dasar pensijilan halal yang mandatori dalam kalangan syarikat restoran bukan Islam.

“Bawa kertas cadangan  kepada mesyuarat Kabinet. Biar semua menteri dalam Kabinet yang Islam dan bukan Islam berbincang dengan akal yang sihat, rasional serta tidak ikut sentimen,” katanya.

Jika secara prinsipnya Kabinet bersetuju dengan cadangan itu, Hassan berkata, langkah seterusnya adalah perbincangan melibatkan Menteri Hal Ehwal Undang-Undang, Jabatan Peguam Negara dan Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang.

“Selepas itu Menteri Hal Ehwal Agama buatlah libat urus dengan pertubuhan-pertubuhan agama sama ada Islam dan bukan Islam. Juga bawalah proses libat urus dengan persatuan peniaga-peniaga restoran bukan Islam sebagai pihak yang betul-betul terlibat,” katanya.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast