Tun Dr. Mahathir Mohamad. Foto MUHD NA’IM, 20 JULAI 2023.

KUALA LUMPUR – Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad secara sinikal menjawab kenyataan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr.  Ahmad Zahid Hamidi yang meminta pemimpin Pas yang sedang disiasat supaya turut bercuti.

Menurut beliau, Ahmad Zahid sendiri tidak bercuti meskipun beliau bukan sahaja disiasat, malah didakwa dan dibicara di mahkamah.

Namun, ujarnya, perbicaraan ke atas Ahmad Zahid digugurkan dan beliau dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri.

“Itulah (apa yang berlaku di) Malaysia hari ini. Jika anda didakwa di mahkamah, pastikan anda dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri, maka tuduhan ke atas anda akan digugurkan.

“Anda tidak akan dihukum meskipun mencuri berbilion-bilion ringgit,” katanya menerusi catatan di laman sosial Facebook beliau hari ini.

Sebelum ini, Ahmad Zahid menyelar Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man yang berpandangan beliau perlu diberikan cuti bagi memberi laluan kepada siasatan bebas terhadapnya berhubung isu akuan berkanun (SD).

Timbalan Perdana Menteri itu berkata, pemimpin-pemimpin Pas juga perlu diberikan cuti sekiranya menjadikan proses siasatan sebagai alasan.

“Ramai tokoh-tokoh Pas juga patut bercuti sebab mereka juga (dalam proses) siasatan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Perundangan Antarabangsa Berkenaan Dengan Ancaman Dalam Talian 2024 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, baru-baru ini. – MalaysiaGazette