Mantan Naib Pengerusi GPMS Negeri Selangor, Daing Muhammad Reduan.

KUALA LUMPUR – Tinggal tujuh hari sahaja lagi tapi kenapa Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) masih belum mengadakan pemilihan ahli majlis tertingginya.

Itu persoalan dibangkitkan mantan Naib Pengerusi GPMS Selangor, Daing Muhammad Reduan.

Difahamkan, GPMS diberi tempoh sehingga 16 September ini seperti notis yang dikeluarkan oleh Pendaftar Pertubuhan Belia (ROY).

Daing Muhammad kecewa dan terkejut apatah lagi difahamkan ROY sudah menghantar surat arahan untuk menyegerakan pemilihan tersebut. 

“Saya difahamkan ROY sudah mengeluarkan dua surat arahan mengapa hingga kini kepimpinan tertinggi termasuk presiden enggan adakan pemilihan? Apa yang susah sangat? Ada apa-apa agenda tersiratkah di sebalik semua ini?

“Ini bukan arahan main-main, implikasinya besar. Janganlah sampai langgar arahan Kementerian Belia Sukan (KBS) walaupun ada pelbagai alasan yang mungkin mereka gunakan untuk menangguh pemilihan,” katanya dalam kenyataan kepada MalaysiaGazette.

Kata Daing Muhammad, beliau terpaksa bersuara tentang isu berkenaan kerana GPMS bukan pertubuhan yang calang-calang sebaliknya telah banyak jasanya namun kini berada di tahap ‘kritikal’.

“Pemilihan ini adalah hak demokrasi ahli-ahli, menafikan pemilihan beerti menafikan demokrasi dalam organisasi dan pertikaian ini bukan hanya datang dari Selangor, beberapa GPMS negeri lain juga tidak bersetuju dengan keputusan GPMS Kebangsaan ini.

“Kami berprogram mengikut perlembagaan GPMS dan itulah ‘kitab’ kami selama ini. Kini perlembagaan langsung tidak dihormati dan seolah-olah dibakul sampahkan malah pihak yang mempertahankan keputusan mentafsir terma-terma perlembagaan sewenang-wenangnya.

“Kami berhak diberikan penjelasan tentang perkembangan ini,” dakwanya.

MalaysiaGazette sedang cuba mendapatkan penjelasan daripada pimpinan GPMS berhubung isu yang sama,  – MalaysiaGazette