Presiden GPMS, Muhd Fazreen Ismadi

KUALA LUMPUR – Presiden Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS), Muhd Fazreen Ismadi menafikan pihaknya sedang melengahkan pemilihan ahli majlis tertinggi seperti dakwaan segelintir pihak.

Kata Muhd Fazreen, kebimbangan dan dakwaan bekas pimpinan GPMS adalah tidak seperti yang digambarkan.

“Perbincangan bersama Pendaftar Pertubuhan Belia (ROY) baru-baru ini dan kita ingin maklumkan pemilihan ahli majlis tertinggi adalah tiga tahun sekali, kali terakhir kita adakan pemilihan pada 23 Julai 2022.

“Jadi jawatankuasa tertinggi yang ada kini masih ada setahun lagi sehingga 22 Julai 2025. ROY juga sudah dimaklumkan tentang perkembangan ini. GPMS juga baru selesai mesyuarat pada 7 September lepas,” katanya ringkas kepada MalaysiaGazette.

Muhd Fazreen menjawab kenyataan bekas Naib Pengerusi Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) Negeri Selangor, Daing Muhammad Reduan yang menyoal mengapa kepimpinan tertinggi belum melaksanakan pemimpin walaupun setelah ROY memberikan notisnya.

Dakwa Daing, ROY sudah menghantar surat arahan untuk menyegerakan pemilihan sebelum 16 September tahun ini iaitu tujuh hari dari tarikh hari ini. – MalaysiaGazette

Mengapa GPMS belum adakan pemilihan majlis tertingginya? – Daing