Ketua Pemuda PAS, Afnan Hamimi Taib Azamudden bercakap pada sidang media berkenaan Muktamar Dewan Pemuda PAS ketika tinjauan lensa MalaysiaGazette di Temerloh, Pahang. Foto AIZAT ZAINAL, 12 SEPTEMBER 2024

TEMERLOH – Dewan Pemuda Pas hari ini mencabar UMNO agar meninggalkan Kerajaan Perpaduan.

Ketuanya, Afnan Hamimi Taib Azamudeen berkata, ia kerana parti pimpinan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi itu dilihat gagal mempertahankan Islam apabila tidak mampu menentang keceluparan pemimpin DAP seperti Teresa Kok yang mencampuri urusan  umat Islam berhubung pensijilan halal.

“Kita cabar UMNO hari ini tinggalkan Kerajaan Perpaduan, keluar dari kerajaan kalau betul nak pertahan Islam, pertahan  Melayu, kamu tak perlu bimbang kamu hilang kuasa kecuali kalau bimbang 47 kes kamu akan dibuka semula.

“Saya tak nampak pemimpin UMNO dalam kerajaan hari ini tidak boleh mempertahankan Islam, kalau mereka boleh pertahankan Islam, kenapa DAP berani begitu lantang bersuara begitu sekali dan contohnya kenyataan Teresa dipertahankan Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke. Ini maknanya DAP tak hirau suara pemimpin UMNO kalau mereka bersuara dalam kerajaan.

“Buat apa lagi duduk dalam kerajaan kalau orang tak hirau suara kita tak dengar cakap kita. Tak hormat pandangan kita, keluarlah kerajaan lebih baik pertahan prinsip daripada pertahan undi,” katanya dalam sidang media selepas tamat Muktamar Dewan Pemuda Pas di Kompleks Al-Makmur hari ini.

Ditanya sama ada Pas sedia bekerjasama dengan UMNO jika parti itu keluar kerajaan, Ahli Parlimen Alor Setar itu berkata, mereka terbuka untuk berbuat demikian kerana usaha perpaduan ummah tak pernah mati.

“Pas terbuka untuk kerjasama dengan  semua pihak termasuk (UMNO) atas nama penyatuan Islam sebab itu kita sebut perpaduan ummah tak mati, bahkan saya fikir dan kita tengok hubungan  Pas dengan UMNO peringkat akar umbi di bawah sejak ada Muafakat Masional (MN) semakin baik,“ katanya lagi.

Mengenai usul perwakilan Selangor, Aubidullah Fahim supaya ahli sayap itu berkahwin merentas kaum supaya dapat menambah undi bukan Islam kepada Pas, Afnan menjelaskan, perkara itu tidak perlu diambil serius.

Cadangan tersebut hanya pandangan perwakilan yang ingin menyampaikan suara dan ia perlu diraikan dalam setiap perbahasan namun ia bukan keputusan peringkat parti.

“Itu pandangan dia sebagai perwakilan muktamar, dia berhak suara pandangan, tak semestinya itu jadi keputusan. Itu pandangan dia,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Apa kata PAS krluar dari perikatan nasional sebab Bersatu hanya biawak hidup dan Getakan pun lebih teruk dari DAP. Yang idealnya juga ahli PAS patut ditaja oleh paryi PAS untuk poligami. Lepas tu baru boleh cerita pasal UMNO.

Comments are closed.