Pengerusi Gerakan Kuasa Rakyat Malaysia (G57), Datuk Zulkarnain Mahdar

KUALA LUMPUR – Tindakan Datuk Seri Hajiji Noor yang menyokong permohonan biasiswa anak kepada Ketua Penerangan Warisan, Datuk Mohd Azis Jamman menunjukkan Ketua Menteri Sabah itu berjiwa besar.

Pengerusi Gerakan Kuasa Rakyat Malaysia (G57), Datuk Zulkarnain Mahdar berkata, meskipun Azis seorang pemimpin pembangkang, namun tiada halangan kepada Hajiji untuk menunjukkan teladan baik kepada rakyat Sabah.

“Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor tidak melakukan apa-apa kesalahan hanya kerana beliau menyokong permohonan biasiswa anak kepada Azis.

“Hajiji sebenarnya telah menunjukkan satu contoh dan teladan baik apabila menyokong permohonan Azis walaupun status beliau sebagai pembangkang di Sabah.

“Hajiji telah menunaikan tanggungjawabnya sebagai seorang Ketua Menteri tanpa mengira latar belakang politik, masyarakat, agama dan kaum di Sabah,” katanya kepada MalaysiaGazette, hari ini.

Zulkarnain menegaskan, pemimpin Warisan itu yang sepatutnya mencermin diri sendiri sebelum memohon bantuan pendidikan itu sedangkan Azis dan isterinya lebih berkemampuan berbanding keluarga miskin lain di Sabah.

“Dalam hal ini, Azis yang sepatutnya dipersalahkan kerana memohon biasiswa walaupun beliau dan isterinya berkemampuan menanggung kos kedua-dua anaknya,” katanya.

Lebih menghairankan katanya, apabila secara diam-diam Azis berjumpa dengan Hajiji bagi meminta sokongan biasiswa untuk anaknya sedangkan beliau sebelum ini lantang menabur fitnah dan menyerang Kerajaan Negeri Sabah.

“Ini adalah satu tindakan hipokrit yang tidak sepatutnya diamalkan oleh mana-mana ahli politik khususnya di Sabah,” katanya.

Sehubungan itu, beliau mencabar Azis dan presidennya, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal membuktikan perjuangan untuk rakyat Sabah dengan menyalurkan bantuan pendidikan kepada pelajar miskin.

“Bukankah Azis dan Warisan sering melaungkan perjuangan untuk rakyat Sabah?

“Alangkah baiknya kalau wang perbelanjaan gerakan politik Azis termasuk Shafie Apdal disalurkan bagi membiayai pelajaran anak-anaknya.

“Dengan cara ini dapat memberikan peluang kepada anak-anak Sabah miskin yang cemerlang dalam keputusan akademik untuk memohon biasiswa tersebut,” katanya. – MalaysiaGazette