Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berucap pada Ucapan perasmian Muktamar Dewan Muslimat Pas ketika tinjauan lensa MalaysiaGazette di Temerloh, Pahang. Foto AIZAT ZAINAL, 13 SEPTEMBER 2024

TEMERLOH – Gabungan Kerajaan Perpaduan disifatkan sebagai cantuman pokka (sejenis cicak), mengkarong, buaya, biawak, kata Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor.

Ketua Pengarah Pilihan Raya Pas itu berkata, gabungan kerajaan itu hanya ditubuhkan untuk membentuk kerajaan bagi memerintah Putrajaya, semata-mata.

“Yang tubuh kerajaan bukan kerana dia banyak kerusi, dia pakat sesama mereka. Pokka (sejenis cicak), mengkarong, buaya, biawak, ini perumpamaan orang Kedah.

“Mereka bercantum (bentuk kerajaan) walaupun tidur batal lain-lain, tapi bercantum sebab nak jadi kerajaan. Kita saksikan apa yang mereka lakukan, pakat tonjolkan ke langit pucuk masing-masing nak rasai nikmat jadi kerajaan,” katanya dalam ucapan perasmian Muktamar Dewan Muslimat Pas di Kompleks Al-Makmur, Kerdau hari ini.

Bagaimanapun, dakwanya, parti yang paling dominan dalam gabungan Kerajaan Perpaduan adalah DAP.

“Semua komponen Kerajaan Perpaduan kena sedar hakikat bahawa rakyat menyaksikan yang paling dominan menguasai politik negara adalah DAP walaupun dia tidak bercakap banyak tapi semua parti lain bercakap bagi pihak DAP.

“Yang paling beruntung dalam Kerajaan Perpaduan adalah DAP, dan kita tahu perjuangan DAP ini apa dia.

“Yang lemas sangat ini adalah PAN (Parti Amanah Negara), tidak tahu jadi apa. Tidak nampak apa, boleh la presiden dia jadi menteri naik lembu.

“Tidak ada agenda perjuangan, mereka ikut sahaja DAP, itu Parti Amanah, UMNO selagi presiden dia selamat, dia ikut, mana boleh selamatkan presiden mereka akan ikut, tidak kira apa pun mereka akan buat, itu UMNO.

PKR saya tidak tahu perjuangan mereka, tidak nampak,” katanya lagi. – MalaysiaGazette