KUALA LUMPUR – Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO) mengesahkan sudah menerima notis tuntutan daripada Datuk Dr Mashitah Ibrahim baru-baru dan bersedia untuk menjawab surat itu.
Bercakap kepada MalaysiaGazette, Setiausaha Agung MHO, Datuk Hishamuddin Hashim berkata, buat masa ini pihaknya sedang mengkaji sebelum menghantar jawapan balas kepada bekas timbalan menteri itu.
Difahamkan, Mashitah telah memfailkan saman fitnah terhadap MHO yang mengkaitkannya dengan sindiket pemerdagangan manusia di Myanmar.
Saman itu telah difailkan oleh Mashitah di Mahkamah Tinggi Shah Alam awal bulan ini dan menuntut MHO memohon maaf atas dakwaan tersebut, selain tuntutan ganti rugi am, ganti rugi teruk dan ganti rugi teladan yang tidak dinyatakan jumlahnya.
Mashitah menamakan Hishamuddin, Ahli Jawatankuasa MHO Azirul Syafiq Sazali dan pertubuhan itu masing-masing sebagai defendan pertama hingga ketiga.
Berdasarkan pernyataan tuntutan itu, Pengerusi Eksekutif Yayasan Pembangunan Pondok Malaysia itu mendakwa Hishamuddin telah memuatnaik, menyiarkan, menerbitkan atau menyebarkan satu video kenyataan media yang dibuat ketiga-tiga defendan pada 28 Ogos lalu di akaun Facebook `Hishamuddin Hashim’.
MHO sebelum telah menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) melakukan siasatan berhubung dakwaan siaran klip video dari dokumentari di saluran YouTube berpangkalan di Indonesia.
Baru-baru ini, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, pihaknya tidak menemui bukti yang mengaitkan Mashitah Ibrahim dan suami terlibat dengan kegiatan sindiket pemerdagangan manusia di Myanmar.
Katanya, pemeriksaan yang dibuat mendapati tiada pelaburan dibuat beberapa individu termasuk Mashitah di luar negara yang didakwa mempunyai kaitan dengan sindiket tersebut. -MalaysiaGazette