Sepasukan polis menarik lelaki yang berdiri di atas jejambat di Jalan Dr Nazrin Shah berhampiran Medan Gopeng di sini ke kawasan selamat. Foto IHSAN PEMBACA

IPOH – Polis berjaya menyelamatkan seorang lelaki yang berdiri di atas jejambat di Jalan Dr Nazrin Shah berhampiran Medan Gopeng di sini pada Khamis malam.

Ketua Polis Perak, Datuk Azizi Mat Aris berkata, sepasukan anggota dari Balai Polis Pasir Puteh telah ke lokasi kejadian sebaik menerima maklumat pada pukul 7.30 malam.

Sebaik polis tiba di lokasi didapati terdapat seorang lelaki sedang berdiri di atas tiang jejambat berkenaan dan usaha memujuk lelaki dipercayai warga Myanmar itu segera dilakukan.

“Bagaimanapun, lelaki itu berdegil dan enggan turun dari jejambat hingga memaksa anggota polis bertindak menariknya ke kawasan selamat.

“Lelaki itu kemudiannya dibawa balik ke balai polis kerana bertindak agresif dan di luar kawalan. Hasil pemeriksaan awal mendapati warga asing itu berada di bawah pengaruh alkohol,” katanya dalam satu kenyataan malam tadi.

Tambah Azizi, semakan lanjut ke atas lelaki tersebut mendapati dia tidak memiliki sebarang dokumen perjalanan yang sah.

Kata beliau lagi, lelaki itu kemudiannya diserahkan kepada Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) untuk tindakan lanjut. – MalaysiaGazette