MELAKA – Gaya didikan permisif golongan ibu bapa hari ini dibimbangi akan mewujudkan masalah kesihatan mental dalam kalangan golongan muda pada masa hadapan.
Penulis buku keibubapaan, Mohd Fhais Salim berkata, permisif bermaksud terlampau membenarkan anak-anak melakukan apa sahaja tanpa menjelaskan akibat daripada perlakuan mereka itu.
“Saya setuju kalau dikatakan ibu bapa permisif ini dah jadi ‘barah’ dalam masyarakat apabila ibu bapa tidak lagi pentingkan antara apa yang boleh dan tak boleh, elok atau tidak.
“Ibu bapa permasif ni dia rasa kasih sayang itu dinilai berdasarkan kebahagiaan anak, apa anak hendak bagi sedangkan ia salah,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette di sini hari ini.
Menurutnya, ‘kiblat’ pemikiran sedemikian merupakan antara masalah terbesar kerana lama kelamaan anak akan membesar dalam persekitaran yang tidak sihat termasuk mengganggu kesihatan mental mereka.
“Bila anak-anak berada dalam persekitaran bebas untuk buat apa sahaja sejak kecil dan naif, mereka tak boleh bezakan mana yang buruk dan buruk.
“Semuanya akan diterima sebagai normal dan bila besar anak-anak ini semakin bijak sehingga mula mempertikaikan dan menjadi semakin berani dari apa yang dilakukannya sejak kecil termasuk menjejaskan kesihatan mental,” katanya.
Mengulas lanjut, Mohd Fhais yang juga penulis buku Parenting Journey & Seni Marah Anak berkata, statistik dikeluarkan Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi pada 2019 menunjukkan, pada tahun itu sahaja sebanyak 442,000 kanak-kanak disahkan mengidap gangguan mental.
“Pengidapnya adalah kanak-kanak berusia antara 5 tahun hingga 15 tahun dan angka itu terus meningkat setiap tahun kira-kira 0.2 peratus.
“Permasalahan ini boleh dikurangkan jika ibu bapa mempunyai kesedaran tinggi dalam kaedah cara betul mendidik anak-anak,” katanya – MalaysiaGazette