Sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) Perodua Alza dipandu hangus terbakar di Jalan Kota Tinggi-Johor Bahru, Kota Tinggi hari ini.

KOTA TINGGI – Seorang lelaki berdepan detik cemas selepas kenderaan pelbagai guna (MPV) Perodua Alza dipandu hangus terbakar di Jalan Kota Tinggi-Johor Bahru di sini hari ini.

Dalam kejadian pada pukul 8.55 pagi itu, mangsa lelaki tempatan berusia 26 tahun sempat menyelamatkan diri selepas melihat asap dari kenderaanya sebelum ia terbakar 95 peratus.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Yusof Othman berkata, kemalangan dipercayai berlaku apabila kereta dipandu mangsa dari Kota Besar menghala ke arah Johor Jaya melanggar lopak air.

“Kenderaan kemudian hilang kawalan lalu berpusing dan terbabas ke bahu jalan sebelah kiri.

“Mangsa melihat kenderaan berasap dan bertindak keluar dari kenderaan selepas itu kenderaan mangsa mula terbakar.

“Kemalangan hanya melibatkan sebuah kenderaan sahaja yang terbabas sendiri dan tiada penumpang,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya, kes disiasat bawah kaedah 10 LN 166/59 dan satu saman Pol 257 telah dikeluarkan kepada mangsa bawah kaedah 10 LN 166/59.

Sementara itu, Komander Operasi Balai Bomba Penyelamat (BBP) Kota Tinggi, Pegawai Bomba Kanan II Ibrahim Wahid berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan kejadian itu pukul 8.59 pagi.

Susulan itu katanya, seramai tujuh anggota bersama-sama sebuah jentera dan kenderaan utiliti dikejarkan ke lokasi kejadian.

“Mangsa hanya mengalami cedera ringan. Operasi ditamatkan pada pukul 9.37 pagi,” katanya.-  MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast