pembersihan dan pengindahan Pulau Rusukan Besar bagi memberi nilai tambah kepada industri pelancongan kepada Labuan.

LABUAN – Lebih 300 sukarelawan menjayakan aktiviti tanggungjawab sosial korporat (CSR) Program Pembersihan dan Pengindahan Pulau Rusukan Besar anjuran kerjasama strategik antara Jabatan Wilayah Persekutuan, Perbadanan Labuan dan Yayasan Sukarelawan Siswa.

Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Labuan, Rithuan Ismail berkata, program memfokuskan aspek kebersihan untuk menjayakan industri pelancongan di Wilayah Persekutuan Labuan yang dilaksanakan secara bersiri sebanyak tiga kali.

Siri pertama dan kedua melibatkan seramai 70 sukarelawan bagi kerja-kerja pembaikan struktur dan pembersihan pulau secara menyeluruh termasuk kerja-kerja membaiki fasiliti sedia ada seperti anjung tinjau, jeti, tandas, ruang makan dan melukis mural hiasan.

“Siri terakhir akan dilaksanakan pada 27 dan 28 September ini merangkumi sentuhan terakhir oleh penggiat media dan pelaksanaan aktiviti promosi dan publisiti menerusi rakaman kandungan digital berkaitan Wilayah Persekutuan Labuan, lokasi-lokasi pelancongan termasuk keindahan Pulau Rusukan Besar agar dapat dikongsi oleh netizen dengan naratif positif sekaligus menaikkan kedyakan keunikan Pulau Labuan.

“Melalui aktiviti seperti ini dapat mewujudkan kesedaran tentang kepentingan pembersihan dan pengindahan Pulau Rusukan Besar bagi memberi nilai tambah kepada industri pelancongan pulau agar dapat berkembang pesat serta memberikan limpahan ekonomi dan penjanaan pendapatan.

“Ia bagi memberi manfaat kepada operator tempatan di Pulau Rusukan Besar dan penjaja setempat selain komuniti Wilayah Persukutuan Labuan dapat merasai keindahan khazanah alam pulau-pulau agar pulau itu sentiasa terjaga, bersih dan kekal vibran sebagai destinasi pelancongan pulau pertama dalam lingkaran Kawasan Pertumbuhan ASEAN Timur- Brunei Darussalam-Indonesia-Malaysia-Filipina (BIMB-EAGA),” katanya kepada MalaysiaGazette yang menyertai program hujung minggu lalu.

Keindahan Pulau Rusukan Besar yang terletak di Labuan.

Program Pembersihan dan Pengindahan Pulau Rusukan Besar turut melibatkan penglibatan sukarelawan gandingan Kelab Media Putrajaya (KMP), Kolej Matrikulasi Labuan dan Universiti Malaysia Sabah Kampus Antarabangsa Labuan.

Sementara itu, Pengerusi KMP, Wan Zairul Azri Mohammad Sudin berkata, menerusi program itu, ia membolehkan maklumat mengenai Wilayah Persekutuan Labuan dapat diketengahkan kepada orang ramai melalui medium media cetak, elektronik dan sosial media.

“Melalui program kali ini, para pengamal media dapat menghasilkan video, rakaman dan kandungan menarik mengenai Wilayah Persekutuan Labuan.

“Dalam masa yang sama, para pengamal media juga dapat membantu menyebar luas maklumat dan daya tarikan berkenaan Wilayah Persekutuan Labuan kepada orang ramai melalui penerbitan video dan penulisan kreatif di pelbagai medium terutamanya di media sosial.

“Ini akan membolehkan orang ramai untuk ingin lebih mengenali Wilayah Persekutuan Labuan sebagai Mutiara Borneo,” katanya. – MalaysiaGazette

 

Program Pembersihan dan Pengindahan Pulau Rusukan Besar turut melibatkan penglibatan sukarelawan gandingan Kelab Media Putrajaya.

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here