Idris ketika berucap dalam program ceramah kelompok di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Taman Ilham, Kluang, malam tadi.

KLUANG – Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota akan menjadi titik kebangkitan rakyat menolak Kerajaan Perpaduan dalam Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU-16).

Naib Presiden Pas, Datuk Idris Ahmad berkata, gelombang kebangkitan tersebut akan bermula di DUN Mahkota sebelum disemarakkan dengan semangat itu berterusan hingga menjelang PRU-16.

Jelasnya, walaupun keputusan tersebut hanya melibatkan pengudi DUN Mahkota, signifikannya besar kerana mewakili seluruh rakyat Malaysia yang tidak berpuas hati.

“Ia mewakili 32 juta rakyat Malaysia untuk melihat gelombang rakyat dan terus semarak dan membakar semangat untuk pastikan kepimpinan negara bertukar kepada Perikatan Nasional (PN).

“Harap pengundi PRK DUN Mahkota buat Keputusan yang baik dan tepat. Harapan besar undilah Coach Haizan (calon PN), tak rugi pilih, beliau orang yang berperwatakan dan berpengaruh. Penting untuk anak muda beri (undi) dan buat keputusan terbaik Sabtu depan (hari mengundi),” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan dalam program ceramah kelompok di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Taman Ilham di sini malam tadi.

Turut hadir Ketua Penerangan PN, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Johor, Datuk Dr Sahruddin Jamal dan Yang Dipertua Pas Johor, Abdullah Husin.

Mengulas lanjut, Idris percaya anak muda dapat melakukan perubahan termasuk dalam PRK DUN Mahkota dan perkara tersebut sudah dilakukan mereka sebelum ini.

Katanya, mereka paling mudah menerima perubahan kerana kebanyakannya tidak mempunyai pegangan atau menyertai parti politik sekali gus senang berlaku kebangkitan orang muda.

PRK itu diadakan susulan kematian penyandangnya Datuk Sharifah Azizah Syed Zain, 64, pada 2 Ogos lalu semasa menerima rawatan di Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom di sini.

BN mempertaruhkan Ketua Pemuda UMNO Bahagian Kluang, Syed Hussien Syed Abdullah, 40, bagi mempertahankan kemenangan pada pilihan raya negeri (PRN) yang lepas manakala PN meletakkan bekas pemain bola sepak Johor Mohamad Haizan Jaafar, 61, sebagai calon.

Pada pilihan raya negeri 2022, Sharifah Azizah menang dengan majoriti 5,166 undi dalam persaingan empat penjuru, melibatkan calon Pakatan Harapan (PH), PN dan Warisan.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast