KUALA LUMPUR – Beberapa buah negara termasuk China bercadang untuk menempatkan semula kilang di Malaysia untuk mendapatkan sijil halal bagi tujuan eksport produk keluaran mereka.
Perkara ini bukan sahaja dapat memberi banyak keuntungan kepada Malaysia, malah meningkatkan nilai eksport, peluang pekerjaan dan pemindahan teknologi.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Sri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, dalam lawatannya ke China baru-baru ini, ada pihak menyatakan minat untuk menggunakan logo halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).
“Mereka ingin menggunakan simbol halal Jakim sebagai logo pengesahan di pasaran antarabangsa kerana logo ini diterima secara meluas dan dipercayai masyarakat dunia.
“Justeru, Halal Development Corporation Bhd (HDC) akan bekerjasama dengan Jakim dan MATRADE (Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia) untuk memberi kemudahan kepada syarikat melabur di sini dan mengambil pekerja tempatan menjadi ahli profesional serta teknikal dalam pengeluaran produk,” katanya.
Beliau turut menegaskan, syarikat-syarikat ini akan terus bergantung kepada sijil halal Jakim untuk produk yang dieksport.
“Penyertaan Malaysia dalam perdagangan halal global menekankan pentingnya ekosistem dinamik yang merangkumi bahan halal, pensijilan, dan perjanjian perdagangan.
“Ini adalah salah satu usaha untuk mewujudkan kerjasama antarabangsa kukuh untuk memenuhi permintaan global dan mencapai kemajuan bersama,” tambahnya.
Selain itu, kata Ahmad Zahid, kekuatan negara dalam industri halal ini boleh dimanfaatkan untuk memacu pertumbuhan sektor ke tahap yang lebih tinggi. – MalaysiaGazette