WASHINGTON – Pihak berkuasa pada Isnin mendakwa seorang suspek berusia 58 tahun yang disyaki merancang membunuh bekas Presiden Donald Trump dengan dua pertuduhan berkaitan senjata api di Florida, lapor United Press International (UPI).
Ryan Wesley Routh membuat penampilan pertamanya di Mahkamah Daerah Amerika Syarikat (AS) di hadapan Majistret Ryon McCabe, dan beliau didakwa atas pertuduhan memiliki senjata api oleh individu yang dilarang dan pertuduhan memiliki senjata api dengan nombor siri yang dipadam.
Routh diwakili oleh peguam dijadual hadir semula untuk perbicaraan pada 23 Sept.
Lelaki itu ditangkap oleh Perkhidmatan Rahsia AS pada Ahad selepas ejen-ejen melepaskan tembakan terhadap seorang suspek di padang golf Trump di West Palm Beach, Florida.
Ketika kejadian, Calon presiden Parti Republikan itu sedang bermain golf.
Seorang ejen mengesan selaras senapang dengan skop (alat pembidik) dalam semak sebelum melepaskan tembakan. Pihak berkuasa menemukan senapang, dua beg galas dan sebuah kamera GoPro di lokasi kejadian.
Routh ditahan oleh Pejabat Syerif Daerah Martin selepas kenderaannya dikesan kira-kira 50 batu dari tempat kejadian.
Pejabat syerif berkongsi rakaman video kamera badan berhubung penangkapan itu pada petang Isnin.
Sementara itu, Trump merancang untuk kembali berkempen pada Isnin dengan menghadiri sebuah majlis di Michigan. – BERNAMA-UPI