Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki bercakap pada Sidang Media Khas ketika tinjauan lensa MalaysiaGazette di Auditorium Ibu Pejabat SPRM, Wilayah Persekutuan, PUTRAJAYA. Foto AIZAT ZAINAL, 18 SEPTEMBER 2024.

PUTRAJAYA – Sebanyak 11 kelemahan utama dalam Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dikesan sehingga ada pihak berani membuka ruang kepada kegiatan sindiket membawa masuk warga asing menerusi modus operandi counter setting di pintu masuk negara.

Ketua Pesuruhjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki berkata, antara masalah utama dikesan adalah kelonggaran dalam aspek kawalan ketika bertugas yang menyebabkan pegawai JIM mudah didekati oleh ejen atau sindiket.

“Selain itu, putaran tempat kerja bagi pegawai JIM yang bertugas Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1 dan 2 tidak sistematik yang menyebabkan pihak ejen dan sindiket senang berurusan dengan pegawai penyelia mahu pun pegawai yang menjaga kaunter.

“Ini kerana mereka terlebih dahulu mengetahui pegawai ini akan bertugas di kaunter mana dan akan berlakunya counter setting,” pada sidang media khas di sini hari ini.

Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki bercakap pada Sidang Media Khas ketika tinjauan lensa MalaysiaGazette di Auditorium Ibu Pejabat SPRM, Wilayah Persekutuan, PUTRAJAYA. Foto AIZAT ZAINAL, 18 SEPTEMBER 2024.

Tambah Azam, SPRM turut mengesan kelemahan daripada aspek kurangnya pemantauan dan penyeliaan sehingga menyebabkan wujud kelompongan dalam kaedah kerja.

“Bukan itu sahaja, sistem pemeriksaan ke atas kemasukan warga asing juga mudah untuk dimanipulasi dan susah untuk membuat semakan semula.

“Ia termasuklah terlalu selesa dan lama bertugas di lokasi sama yang mana dikesan ada pegawai JIM turut memberi dan membayar rasuah dalam kalangan pegawai imigresen sendiri.

“Siasatan juga  mendapati wujud amalan dalam pegawai JIM yang menerima rasuah bagi melepaskan warga asing yang tidak menepati syarat kemasukan,” ujarnya.

Katanya lagi,  turut dikesan ketiadaan prosedur operasi standard (SOP) termasuk pengawasan yang ketat dan JIM perlu bertanggungjawab membuat operasi besar-besaran menahan pendatang asing tanpa izin (PATI).

“Tiada pemantauan dan tapisan pihak ketiga membabitkan semakan dokumen tiket pulang serta penginapan sepanjang tempoh berada di Malaysia manakala masalah terakhir yang dikesan adalah kerana habuan rasuah yang lumayan,” jelasnya.

Sehubungan itu, SPRM telah mencadangkan kepada JIM supaya pegawai yang bertugas di KLIA Terminal 1 dan 2 termasuk penyelia tidak dibolehkan membawa telefon bimbit ketika bertugas.

Tegas Azam, langkah tersebut bagi mengelak mereka mudah dihubungi pihak lain dan berlakunya kegiatan sindiket counter setting.

“Kita juga mencadangkan kepada JIM, perlu diwujudkan jaringan perhubungan komunikasi lain sepanjang pegawai terlibat bertugas.

“Jadual penetapan pegawai di kaunter dibuat ketika pegawai masuk bertugas dan sudah berada di zon kaunter. Mungkin penetapan boleh dibuat oleh pihak lain,” katanya. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here