Singapura
Gambar hiasan

PUTRAJAYA- Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan semua agensi dan badan berkanun mendapatkan kelulusan menteri masing-masing untuk lawatan ke luar negara dalam usaha mengurangkan hutang negara.

Menteri Komunikasi yang juga jurucakap Kerajaan Perpaduan, Fahmi Fadzil, berkata Perdana Menteri melihat keperluan meneliti semula aspek lain termasuk lawatan ke luar negara bagi memastikan aspek pengurusan dan tatakelola dimantapkan.

“Ketika kita berusaha kurangkan hutang negara, Perdana Menteri melihat (keperluan) meneliti semula aspek termasuk lawatan ke luar negara.

“Untuk pergi ke luar negara, perlu ada rasional, kenapa jumlah sedemikian diperlukan? Adakah ada kemungkinan pengurangan dan penjimatan? Ini perlu dipertimbang.

“Ini termasuk penambahbaikan aspek penyampaian, mekanisme untuk projek-projek, dan memastikan tidak berlaku kelewatan, penangguhan serta projek sakit.

“Perdana Menteri berhasrat untuk memastikan setiap wang ringgit rakyat dibelanja dengan baik,” katanya kepada pemberita selepas Perhimpunan Bulanan Kementerian Komunikasi di sini, hari ini.

Fahmi berkata, bagi Kementerian Komunikasi, badan berkanun terbabit antaranya Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) serta Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (FINAS) perlu mendapat kelulusan beliau sebelum lawatan ke luar negara.

“Saya minta Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi (Datuk Mohamad Fauzi Md Isa) mengikut perkembangan dengan Ketua Setiausaha Negara mengenai arahan berhubung perkara ini, agar aspek tadbir urus dilaksanakan dengan rapi, teratur dan tiada pelanggaran,” katanya. – BERNAMA