KLUANG – Kerajaan negeri mengesahkan penemuan beberapa bahan bacaan baharu termasuk buku dipercayai ada kaitan dengan Aurad Muhammadiyah dalam serbuan di premis GlSB Holdings Sdn Bhd (GISBH) di beberapa daerah di Johor.
Serbuan itu dilakukan menerusi Ops Bersepadu bersama-sama polis dan disertai Bahagian penguatkuasaan Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) di lima daerah, kelmarin dan semalam.
Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Johor, Mohd Fared Khalid berkata, serbuan tersebut turut menyelamatkan kanak-kanak di premis berkenaan.
“Daerah yang terlibat adalah Kluang, Mersing, Segamat, Kota Tinggi dan Johor Bahru dengan penemuan bahan bacaan terlarang ataupun bacaan baharu yang dipercayai mempunyai kaitan dengan Aurad Muhammadiyah yang difatwakan sesat.
“Bagaimanapun siasatan terperinci masih dijalankan dan JAINJ akan mengambil tindakan lanjut dari segi pendakwaan sekiranya wujud elemen itu mengikut Enakmen Syariah Negeri Johor,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Pelancaran Program Pra Tahfiz Peringkat Kemas Negeri Johor Tahun 2024 di Prime City Hotel di sini hari ini.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyempurnakan perasmian program berkenaan.
Turut hadir Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi; Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara), Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki dan Menteri Kerja Raya, Ahmad Maslan.
Mohd Fared berkata, pihaknya perlu mengambil sedikit masa untuk siasatan kerana sebahagian buku yang dirampas itu adalah bahan baharu.
“Jadi kita tidak tahu sama ada ia berkaitan dengan Aurad Muhammadiyah yang difatwakan haram,” ujarnya.
Tindakan perlu dilakukan berhati-hati berbanding secara serta-merta ataupun kelam kabut dan akhirnya tidak membuahkan hasil.
“Jadi, satu proses mahkamah memerlukan tindakan yang sangat teliti. Bagi maksud kebajikan anak-anak yang diselamatkan dalam operasi itu, JKM (Jabatan Kebajikan Masyarakat) sudah mengambil tanggungjawab,” katanya.
Selain itu kata Mohd Fared, JAINJ sudah pun mengunjungi semua lokasi utama yang dikenalpasti untuk membuat pemeriksaan.
Dalam pemeriksaan itu terdapat premis sudah dikosongkan serta ada yang masih berpenghuni.
“Ada premis yang masih lagi menempatkan golongan warga emas, dewasa dan kanak-kanak. Sebagai contoh premis di Mutiara Rini, Johor Bahru yang juga ada penemuan bahan namun penghuni sudah tiada.
“Jadi, kita akan bekerjasama dengan polis untuk menjejaki mereka,” katanya lagi.- MalaysiaGazette