Foto IG Syahmi Safari.

KUALA LUMPUR – Pemain pertahanan Johor Darul Ta’zim (JDT), Syahmi Safari memberi bayangan akan mengakhiri musim 2024/2025 lebih awal gara-gara masalah kecederaan yang dihadapinya ketika aksi bertemu Penang FC.

Menerusi hantaran di Insta Story miliknya, pemain berusia 26 tahun itu memuat naik foto hitam putih menyarung jersi JDT dengan ayat penghargaan untuk Liga Malaysia musim ini.

“Terima kasih musim 2024/2025,” tulisnya.

Minggu lalu, tonggak yang beraksi di posisi pertahanan kanan dimasukkan sebagai pemain gantian kepada Oscar Arribas pada minit ke-76 ketika membantu JDT menewaskan Penang FC di Stadium Sultan Ibrahim dekat Iskandar Puteri, Johor.

Sebelum ditimpa kecederaan, Syahmi sempat membuat satu hantaran bantuan bagi memastikan tuan rumah merakamkan kemenangan selesa 5-0 menentang The Phanters untuk mengukuhkan kedudukan selaku pendahulu liga.

Selepas beraksi selama 14 minit, nasib tidak menyebelahi Syahmi apabila terpaksa dikeluarkan selepas mengalami kecederaan ekoran diterjah oleh pemain pertahanan Harimau Kumbang, Adib Ra’op.

Susulan kecederaan dialaminya itu, JDT mengambil insiatif menghantar anak jati Kuala Selangor, Selangor terbabit ke Valencia, Sepanyol untuk mendapatkan rawatan yang lebih rapi.

Musim ini, Syahmi hanya tampil dalam tiga aksi Liga Super dan diberikan peluang bermain satu perlawanan Piala FA.

Dari tiga empat aksi itu, bek kanan itu berhasil menyumbang satu gol dan dua hantaran bantuan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast