Johari ketika berucap semasa berkempen di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Haji Manan, Kluang malam tadi.

KLUANG – Barisan Nasional (BN) tidak boleh terlalu selesa dan yakin sebaliknya kena terus bekerja keras untuk menang Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, ini kerana dalam mana-mana pilihan raya tidak ada satu kerusi pun yang boleh dijamin menang kerana ia dinamik.

Justeru, katanya, tempoh beberapa hari lagi berkempen perlu digunakan sebaiknya dan meminta jentera BN supaya teruskan berkempen.

“Ini termasuk mengenal pasti pengundi supaya mereka keluar mengundi BN pada Sabtu ini. Calon kita ini banyak memenuhi cita rasa rakyat sebab dalam pilihan raya ini, dia ada tiga faktor yang selalu saya tekankan.

“Pertama, kita mesti ada parti yang kuat dan kalau ada kesilapan yang lepas kita ingin sentiasa memperbaiki kesilapan itu

“Kedua, kita mesti ada calon yang bukan sahaja boleh diterima dalam kalangan parti kita tetapi juga dałam kalangan orang luar yang tidak berparti atau duduk sebagai tempat duduk peminat, dia mesti boleh terima.

“Calon ini mesti boleh kita bawa dan jual mereka, dia mempunyai ciri ciri kepimpinan yang bagus dan akhir sekali kita pastikan jentera kita ini mantap dan tidak berkelahi sesama sendiri, tidak sabotaj,” katanya pada sidang akhbar selepas melawat Pusat Daerah Mengundi (PDM) Haji Manan di sini malam tadi.

Johari berkata, kempen BN sehingga kini dilihat lancar dan pihaknya yakin jika semua jentera BN dapat bekerjasama sebagai satu pasukan.

Terdahulu dalam ucapannya, beliau berkata, kemenangan dalam pilihan raya di Johor selalu dijadikan pengukur kejayaan UMNO di negara ini.

Katanya, UMNO itu sendiri adalah sauh dalam BN dan jika disabotaj maka BN secara automatik akan gagal.

“Kenapa penting nak jaga kekuatan dalam BN kerana apabila kita kuat dalam BN maka secara automatik sepanjang masa, masyarakat Cina dan India juga akan kuat dalam komponen,” katanya.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast