KUALA LUMPUR – Indeks Harga Pengeluar Malaysia (IHPR) mereda kepada 0.3 peratus pada Ogos 2024, berbanding 1.3 peratus pada bulan sebelumnya.
Kesemua sektor IHPR Pengeluaran Tempatan terus meningkat pada Ogos 2024, kecuali sektor perlombongan, kata Jabatan Perangkaan Malaysia.
Sektor pertanian, perhutanan & perikanan meningkat 2.7 peratus daripada tahun sebelumnya (Julai 2024: 3.4%) dengan indeks penanaman tanaman kekal mencatatkan peningkatan 6.3 peratus.
Sektor pembuatan meningkat 1.0 peratus (Julai 2024: 0.9%) disumbangkan oleh indeks pembuatan komputer, produk elektronik & optikal (5.8%) dan pembuatan produk makanan (2.3%).
Sementara itu, indeks bekalan air dan bekalan elektrik & gas masing-masing meningkat sebanyak 8.0 peratus dan 1.0 peratus.
Walau bagaimanapun, sektor perlombongan menurun 8.3 peratus berbanding peningkatan 2.2 peratus pada bulan sebelumnya, disebabkan pengekstrakan gas asli (-10.1%) dan pengekstrakan petroleum mentah (-7.8%).
Pada asas bulanan, IHPR Pengeluaran Tempatan terus menurun sebanyak 0.9 peratus pada Ogos 2024 (Julai 2024: -0.2%) disebabkan oleh sektor perlombongan, yang turun 6.8 peratus (Julai 2024: 0.7%), dipengaruhi oleh kedua-dua indeks pengekstrakan gas asli (-9.1%) dan pengekstrakan petroleum mentah (-6.1%).
Sektor pertanian, perhutanan & perikanan susut 2.7 peratus (Julai 2024: 1.1%), dengan indeks penanaman tanaman kekal mencatatkan penurunan 2.9 peratus.
Sektor pembuatan terus turun 0.2 peritus (Julai 2024: -0.3%), disebabkan oleh indeks pembuatan kok & produk petroleum bertapis (-1.6%) dan pembuatan komputer, produk elektronik & optikal (-0.4%).
Sektor bekalan air juga menurun 0.8 peratus (Julai 2024: 0.8%), sebaliknya, indeks bekalan elektrik & gas meningkat sebanyak 0.6 peratus (Julai 2024: -0.8%).
Indeks barang siap meningkat 3.5 peratus (Julai 2024: 2.9%) disumbangkan oleh indeks kelengkapan modal (7.1%).
Indeks bahan perantaraan, bekalan & komponen meningkat 0.2 peratus (Julai 2024: 0.6%) disebabkan oleh bahan dan komponen untuk pembuatan (2.5%).
Sementara itu, indeks bahan mentah untuk diproseskan selanjutnya turun 3.5 peratus (Julai 2024: 1.5%) disebabkan oleh indeks bahan bukan makanan (-4.2%).
Pada asas bulanan, indeks bahan mentah untuk diproseskan selanjutnya menurun 3.5 peratus, manakala indeks Bahan perantaraan, bekalan & komponen turun
0.8 peratus.
Walau bagaimanapun, indeks Barang siap meningkat sebanyak 0.6 peratus. – MalaysiaGazette