Seramai 91 warga asing berjaya diberkas dalam serbuan Imigresen di sebuah kilang Kitar Semula bahan Besi di Kuantan Pahang pada 25 September lalu.Ihsan Imigresen Ibu Pejabat Putrajaya

KUALA LUMPUR – Seramai 91 warga asing ditahan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dalam operasi bersepadu yang dilaksanakan di sebuah kilang barangan kitar semula di Kawasan Perindustrian Gebeng di Kuantan, Pahang, kelmarin.

Ketua Pengarahnya Datuk Zakaria Shaaban berkata, serbuan dilakukan berdasarkan maklumat awam dan risikan yang dijalankan selama dua minggu.

“Pemeriksaan di dalam premis itu berjaya membawa pasukan serbuan kepada penahanan seramai 91 warga asing yang terdiri daripada 43 lelaki warga China, 21 lelaki Pakistan, 19 lelaki Bangladesh dan seorang lelaki warga Indonesia, lima wanita warganegara China dan dua wanita warganegara Myanmar berusia dalam lingkungan 21 hingga 60 tahun,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Operasi yang bermula jam 12.00 tengahari itu melibatkan anggota JIM Negeri Pahang dan Bahagian Pencegahan ATIPSOM & AMLA Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya dengan kerjasama Jabatan Tenaga Kerja Negeri Pahang.

Seramai 91 warga asing berjaya diberkas dalam serbuan Imigresen di sebuah kilang Kitar Semula bahan Besi di Kuantan Pahang pada 25 September lalu.Ihsan Imigresen Ibu Pejabat Putrajaya

Menurut Zakaria, operasi yang dijalankan itu menggunakan pendekatan mengenal pasti mangsa pemerdagangan orang (buruh/perkhidmatan paksa) dalam kalangan golongan rentan dengan berpandukan National Guideline on Human Trafficking Indicators (NGHTI) 2.0.

Tambah beliau, modus operandi kilang kitar semula itu adalah memproses sisa dan bahan besi yang melibatkan peleraian dan pembakaran untuk dijadikan besi yang baru dan bahan pembinaan.

“Semasa pasukan bersepadu terlibat serbuan, terdapat pekerja warga asing cuba melarikan diri serta bersembunyi di dalam kawasan kilang yang sangat luas dan dipenuhi timbunan besi yang menyukarkan anggota serbuan untuk melakukan pemeriksaan namun berjaya dipatahkan oleh pasukan serbuan.

“Pemeriksaan lanjut kami mendapati, hampir kesemua pekerja warganegara asing ini tidak diberikan kelengkapan keselamatan kerja yang boleh menyebabkan risiko kecederaan,” ujarnya.

Zakaria berkata, kesemua warga asing itu ditahan kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966 dan Peraturan-peraturan Imigresen 1963.

Katanya, kini mereka ditahan di Depot Imigresen Kemayan, Pahang untuk siasatan lanjut.

Tambah beliau, pihaknya mengeluarkan tujuh notis kepada warga tempatan yang berada di lokasi serbuan untuk hadir ke pejabat imigresen bagi membantu siasatan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast