Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berucap pada Forum Ilmuan Malaysia Madani ketika di Grand Hyatt Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 25 SEPTEMBER 2024.

KUALA LUMPUR – Kerajaan akan terus memastikan pihak berkuasa mengendalikan siasatan kegiatan Global Ikhwan Services and Business Holdings Sdn. Bhd. (GUSBH) dengan telus.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ia melibatkan 542 orang kanak-kanak di bawah 18 tahun ditempatkan di Penempatan Perlindungan Sementara yang mana mereka diberikan akses kebajikan, kaunseling, kerohanian dan pendidikan bagi suatu tempoh sehingga siasatan dilakukan polis, Jabatan Agama Islam serta Majlis Agama Negeri dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

“Mohon kepada ahli dan para pendukung di dalam dan luar negara yang bukan di bawah siasatan untuk menghubungi pihak berkuasa bagi meluruskan segala permasalahan yang dihadapi,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Sebelum ini, Anwar berkata, beliau tidak akan berkompromi dalam menyelesaikan isu kontroversi membabitkan rumah amal syarikat GISBH.

Katanya, sekiranya tindakan tidak diambil ke atas kumpulan itu ia ibarat beliau gagal sebagai seorang pemimpin.

Sebelum ini, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain, berkata, serbuan ke atas 20 rumah kebajikan yang dikaitkan dengan GISBH berhubung dakwaan eksploitasi serta penderaan kanak-kanak adalah hasil risikan dan siasatan oleh pihak polis selama enam bulan.

Beliau berkata, pihaknya menyiasat syarikat itu sejak 2011 iaitu sebelum dakwaan terhadap GISBH tular di media sosial baru-baru ini. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast