Muhyiddin Yassin

JOHOR BAHRU – Perikatan Nasional (PN) menerima isyarat pengundi Mahkota dan mengambil langkah segera untuk memperbaiki prestasi parti.

Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kekalahan dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota semalam tidak mematahkan semangat gabungan politik itu.

Sebaliknya kata Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu, mereka akan terus berjuang.

“Insya Allah, PN dan Bersatu khususnya akan bangkit semula dengan semangat yang lebih jitu untuk mencipta kemenangan di pentas demokrasi.

“Saya mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua pengundi DUN Mahkota yang telah mengundi calon PN.

“Setinggi-tinggi terima kasih juga saya ucapkan kepada semua jentera PN yang telah gigih membantu calon PN,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Pengorbanan masa, tenaga dan wang ringgit anda dalam PRK ini amat beliau hargai.

PN katanya, menghormati pilihan pengundi DUN Mahkota selaras dengan semangat demokrasi.

Calon Barisan Nasional (BN), Syed Hussien Syed Abdullah menang kerusi DUN Mahkota dengan memperoleh 27,995 undi menewaskan calon PN, Mohamad Haizan Jaafar yang mendapat 7,347 undi.

Beliau mendapat majoriti undi 20,648 jumlah lebih besar daripada majoriti undi diperoleh bekas ADUN Mahkota, Datuk Sharifah Azizah Syed Zain pada pilihan raya negeri (PRN) lalu iaitu 5,166 undi.- MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here