KUALA LUMPUR – Derita seramai 350 penduduk pangsapuri Taman Kem, Klang dekat sini yang berdepan kesulitan selepas kebakaran yang menyebabkan 86 unit terbakar serta gangguan bekalan air akibat terputusnya aliran dari tangki utama mendapat perhatian MIC.
Dalam satu kenyataan, Ketua Pemuda MIC Kebangsaan, Arvind Krishnan telah diarahkan presidennya, Tan Sri SA Vigneswaran untuk segera turun padang dan membantu penduduk terjejas pada Jumaat lalu.
“Pemuda MIC Kebangsaan bersama-sama Ketua Pegawai Eksekutif Air Selangor telah melawat lokasi kejadian bagi melihat bentuk bantuan yang boleh disalurkan dengan kadar segera.
“Kita telah memohon kepada Air Selangor dua tangki statik air minuman untuk penduduk. Bekalan air tersebut dihantar serta-merta manakala Pemuda MIC pula telah menyumbangkan RM7,000 bagi membantu membaiki sambungan bekalan air yang terjejas.
“Kami amat berterima kasih kepada Presiden kerana begitu prihatin dengan insiden dan segera menangani isu ini. Penghargaan juga diberikan kepada pemimpin komuniti tempatan dan golongan belia yang telah bertindak pantas mencari penyelesaian,” katanya dalam kenyataan.
Sebelum ini tular sebuah video di media sosial menunjukkan api marak dengan asap tebal menyelubungi blok A Flat Taman Kem di Pelabuhan Klang itu sehingga menyebabkan kemusnahan besar dengan kira-kira 30 peratus unit kediaman mengalami kerosakan teruk.
Pasukan bomba berjaya memadamkan api sebelum ia marak ke bangunan yang lain dan tiada laporan kecederaan dilaporkan.
Selain kemusnahan tempat tinggal, kebakaran itu turut menyebabkan gangguan bekalan air apabila aliran air dari tangki utama terputus. – MalaysiaGazette
















