Pelajar dari Kolej Islam Sultan Alam Shah tekun membaca ayat suci Al-Quran pada Hari Nuzul Quran ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Masjid Diraja Sultan Suleiman, Klang. Foto MOHD ADZLAN, 28 MAC 2024.

Oleh: Dr. Selamat Amir

ISU penyelewengan dan kesesatan dalam ajaran Islam bukanlah isu yang baharu. Namun pendedahan terhadap kesesatan dan kejelekan ajaran GISBH serta pengikutnya telah membuka semula mata semua pihak terhadap keburukan dan kesan akibat kejahilan pengamal ajaran sesat. Yang jelas ia bertentangan dengan akidah Islam khususnya akidah Ahli Sunnah Waljamaah yang menjadi iktikad dan pegangan umat islam di Malaysia malah seantero dunia.

Malah lebih teruk dan jijik apabila gerakan ini tanpa segan silu mempergunakan ‘nama agama’ demi mengaut keuntungan dan kesenangan. Realitinya, ajaran yang menyesatkan inilah sebenarnya telah merosakkan hampir keseluruhan rantaian hubungan sosial, etika moral, akhlak, ekonomi dan kepercayaan yang menjadi asas kekuatan dan tunjang hidup beragama.

Berselindung di sebalik tabir bertopengkan agama, waima dari aspek penampilan seakan ‘ustaz atau wali’ ataupun melalui kata-kata indah seakan ‘tok guru atau mufti’, kebanyakan ajaran yang menyeleweng ini akan mempergunakan ruang dan pendekatan sebegini demi untuk meraih sokongan dan pengikut. Apatah lagi sasaran mereka adalah golongan yang jahil dan tidak memiliki asas pegangan dan kefahaman Islam yang kukuh.

Pendekatan sebegini telah terbukti apabila disoroti sejarah kemunculan dan perkembangan ajaran sesat dan menyeleweng di Malaysia sejak dari era 1960an bermula dari gerakan al-Arqam, Ayah Pin, Syiah, Rasul Kahar ajaran Hulk dan sebagainya
sehinggalah pada hari ini. Timbul beberapa persoalan: Apakah faktor utama yang menyebabkan kemunculan ajaran menyeleweng dari landasan Islam?

Adakah dengan segala sumber mengenai Islam pada hari ini masih belum mencukupi dan memberikan kefahaman? Adakah agensi dan institusi Islam di negara ini masih perlu diperkasakan bagi membendung gejala sebegini? Dan banyak lagi persoalan-persoalan berbangkit. Ajaran Islam yang telah terbukti kebenarannya menerusi wahyu al-Quran al-Karim dan risalah nubuwwah Baginda Nabi SAW sebenarnya sudah mencukupi menjadi pegangan dan panduan hidup beragama bagi setiap manusia yang bergelar Muslim ataupun mereka yang mencari-cari kebenaran. Firman Allah SWT dalam al-Quran bermaksud: “Sesungguhnya agama (yang benar dan diredai) di sisi Allah ialah Islam…” (Surah Ali ‘Imran, ayat 19) Rasulullah SAW juga menjelaskan kedudukan Islam menerusi sabdanya bermaksud: “Islam itu tinggi dan tidak ada yang mengalahkan ketinggiannya”. (Hadis riwayat al-Baihaqi)

Malah Allah SWT juga telah memberikan peringatan agar tidak terperosok dalam ajaran selain Islam kerana kesannya bukan sahaja di dunia malah di akhirat. “Dan sesiapa yang mencari agama selain agama Islam, maka tidak akan diterima daripadanya, dan dia pada hari akhirat kelak daripada orang yang rugi.” (Surah Ali ‘Imran, ayat 85) Allah SWT seringkali memperingatkan agar manusia istiqamah dan tetap pada ajaran Islam sebagai agama yang hanif (benar/lurus) dan fitrah (Surah al-Rum ayat 30). Dalam erti kata lain Islam itulah kebenaran, Islam itulah jalan kehidupan, justeru mengapa perlu mencari dan mencipta selain daripada Islam yang telah sempurna dan menyempurnakan? Jawapannya mudah, kerana kejahilan, ketamakan dan pentingkan diri sendiri.

Hakikatnya Allah SWT telah menjawab pertanyaan ini dalam firmanNya, “dan kamu mencintai harta benda dengan kecintaan yang berlebihan…” (Surah al-Fajr ayat 30).
Dan dalam sebuah riwayat Rasulullah SAW menggambarkan sifat tamak manusia ini, “Seandainya seorang anak Adam (manusia) itu memiliki selembah emas, ia tentu menginginkan dua lembah emas lagi dan sama sekai tidak akan memenuhi mulutnya (merasa puas) selain tanah (iaitu setelah mati) dan Allah menerima taubat orang-orang yang bertaubat”. (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim) Dalam riwayat yang lain Rasulullah SAW juga telah menegaskan bahawa barangsiapa yang perpegang teguh kepada Kitabullah (Al-Quran) dan Sunnahnya, maka dia tidak akan sesat selama-lamanya. (Hadis riwayat Tirmizi)

Oleh yang demikian adalah menjadi kefarduan dan tanggungjawab seorang Muslim untuk mendalami dan memahami ajaran Islam yang benar melalui sumber-sumber yang sahih agar tidak mudah terjebak dengan aliran dan pemikiran songsang dan menyesatkan. Islam adalah agama rahmah, yang bersifat Rabbaniyyah (ketuhanan), Syumuliyyah (lengkap), Waqi’iyyah (realistik), ‘Alamiyyah (sejagat), Ukhrawiyyah (akhirat). Sifat dan ciri inilah yang seharusnya difahami dan dipraktikkan oleh umat Islam agar ia bukan sahaja menonjolkan kebenaran, malah dalam masa yang sama menafikan kebatilan.

Apatah lagi pada zaman teknologi kecerdasan buatan dan ChatGPT ini yang menuntut umat Islam menguasai pelbagai kemahiran dan kemajuan yang akhirnya membuktikan al-Falah (kejayaan) itu bukan hanya berkisar pada ‘teks agama’ dan ‘tikar sejadah’ sahaja, tetapi direalisasikan mengikut keperluan dan perkembangan akal manusia. Sesungguhnya apa yang berlaku ini pasti besar hikmahnya, agar manusia kembali merenung dan mencari kebenaran (din al-Haq) “Dialah Tuhan yang mengutuskan RasulNya dengan membawa petunjuk dan agama yang benar (Islam).” (Surah al-Saff ayat 9)

Penulis merupakan Pensyarah Kanan di Jabatan Al-Quran dan Al-Hadith, Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya