Izzah peruntukan PH BN
Hassan Abdul Karim

JOHOR BAHRU – Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim tidak bersetuju cuti hujung minggu Johor ditukar kepada Sabtu dan Ahad.

Beliau berkata, ini kerana cuti hujung minggu Johor mempunyai makna dalam konteks sejarah dan budaya di negeri ini.

Menurutnya, Johor tidak akan mundur sekiranya cuti mingguan kekal Jumaat dan Sabtu.

“Ini memberi penghormatan yang tinggi kepada rakyat Islam di Johor. Rakyat Johor yang bukan Islam menerima hakikat budaya dan sejarah politik Johor mengapa hari Jumaat adalah hari cuti di Johor

“Jadi perubahan yang akan berlaku di Johor dalam soal hari cuti hujung minggu ini mempunyai makna yang tersendiri iaitu melupakan pengertian budaya dan sejarah politik Johor itu sendiri.

“Johor dirahmati Allah dengan segala kemajuaan duniawi daripada segi kebendaan dan material berbanding dengan negeri lain walaupun cuti hujung minggunya selama ini adalah Jumaat dan Sabtu.

“Jumaat adalah hari yang mulia dalam budaya Islam,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Semalam, Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail dilaporkan berkata, cuti hujung minggu di negeri ini akan ditukar semula kepada Sabtu dan Ahad bermula 1 Januari 2025.

Tunku Mahkota Ismail bertitah, perkara tersebut mendapat perkenan dan restu Yang Dipertuan Agong, Sultan Ibrahim.

Bermula 1 Januari 2014, Sultan Ibrahim telah mengubah cuti mingguan negeri Johor kepada Jumaat dan Sabtu sebagai penghormatan kepada hari Jumaat selaku penghulu segala hari dan pengiktirafan Agama Islam sebagai agama rasmi Johor.

Perubahan itu sebelum ini sebenarnya mengembalikan semula cuti hujung minggu asal (Jumaat-Sabtu) yang telah dilaksanakan Johor sejak sekian lama sebagai sebuah Negeri Melayu Tidak Bersekutu.

Johor hanya melaksanakan hujung minggu Sabtu dan Ahad bermula tahun 1994 apabila ia ditukar semasa pentadbiran Tan Sri Muhyiddin Yassin selaku Menteri Besar. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Cuti mingguan Johor ditukar semula kepada Sabtu, Ahad pada Januari 2025

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here