MUAR – “Kira-kira dua minggu saya ada bermimpi aneh, gigi tercabut. Tapi saya tak percaya sehinggalah diberitakan pemergian abang.
“Saya tidak mahu melayan mimpi dan hanya menganggap ia hanya mainan tidur.
“Semuanya sudah tertulis saya terima dan reda dengan ujian ini,” ujar Muhammad Faiq Syahmi Md Tukirin, 18, adik kepada Muhammad Akmal, 25, yang berkongsi mimpi anehnya itu.
Muhammad Akmal merupakan saeorang daripada tiga penuntut Universiti Teknologi Mara (UiTM) Dungun UiTM yang maut dalam kemalangan depan universiti berkenaan, malam tadi.
Muhammad Faiq berkata, dia mengetahui abangnya sudah meninggal dunia selepas menerima panggilan daripada ayahnya menyatakan abang antara tiga yang maut dalam kejadian rempuhan sebuah kenderaan malam tadi.
Katanya, panggilan pada pukul 10 malam tadi diterima ketika sedang berada di Kolej Matrikulasi Pontian.
“Ayah beritahu abang dah tak ada, kami terkejut seketika seolah-olah tak percaya apa yang saya dengar. Selepas mendapat tahu, ayah bersama ibu, Rafeah Buang, 51, serta ahli keluarga terus bergegas ke Terengganu.
“Pagi tadi pukul 8.30 pagi tadi, saya dijemput abang saudara di Pontian untuk pulang ke Muar,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Parit Baru di sini hari ini.
Ujar Muhammad Faiq, kali terakhir dia bertemu abangnya dua minggu sebelum pulang ke kampus di Pontian memandangkan cuti semester sudah berakhir.
“Arwah anak kedua daripada empat beradik, kami semuanya adik beradik lelaki. Arwah abang ceria malah sering bergurau setiap kali berada di rumah.
“Kehadirannya sering membuatkan suasana bertambah gembira,” katanya.
Dalam kejadian itu, selain Muhammad Akmal, dua lagi rakannya yang juga penuntut UiTM, Khairil Anwar Jamaludin, 20 dan Ku Adib Aizad Ku Azmi, 20, turut maut.
Kemalangan itu membabitkan dua motosikal jenis Yamaha LC135 serta Yamaha Y15 ditunggangi mangsa dengan sebuah kereta Honda CRV dipandu seorang wanita.
Kereta berkenaan didapati merempuh kedua-dua motosikal yang dalam perjalanan ke universiti dari arah belakang menyebabkan sebuah daripada motosikal berkenaan diseret hampir 60 meter.
Semua mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian manakala Muhammad Ammar Danish Mohammad Ridhuan, 20, yang cedera dalam kemalangan itu kini stabil.- MalaysiaGazette
















