Lukanisman Awang Sauni
Lukanisman Awang Sauni.

KUALA LUMPUR – Dewan Rakyat hari ini meluluskan pindaan Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) yang bertujuan untuk meningkatkan kesiapsiagaan negara dalam menangani ancaman penyakit berjangkit.

Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Lukanisman Awang Sauni berkata, pakej pindaan itu akan membolehkan pencegahan dan kawalan penyakit yang lebih cekap dan berkesan.

Jelas beliau, ia sekali gus menjadi asas penguatkuasaan yang mantap bagi menghadapi sebarang wabak atau pandemik penyakit berjangkit pada masa hadapan.

“Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah mengenalpasti beberapa keperluan mendesak sewaktu menangani beberapa wabak utama dalam dekad ini terutamanya pandemik COVID-19 yang melanda pada tahun 2020.

“Bagi menangani cabaran-cabaran yang timbul dengan berkesan, pindaan-pindaan ini dikemukakan untuk mengemas kini dan menutup kelompongan (lacuna) dalam kerangka perundangan negara sedia ada agar selari dengan keperluan semasa,” katanya pada sidang media di Parlimen, di sini, hari ini.

Sebelum itu, RUU berkenaan diluluskan dengan lebih suara bersetuju selepas bacaan kali ketiga oleh beliau dan dibahaskan 24 Ahli Parlimen.

Lukanisman menambah, penguatkuasaan pindaan baharu Akta 342 itu akan melibatkan beberapa aspek antaranya peruntukan yang melibatkan notifikasi untuk penyakit berjangkit termasuk kes-kes yang disyaki, pengasingan atau pengawasan
orang yang dijangkiti dan orang yang disyaki.

Kata beliau, ia juga membabitkan peruntukan yang melibatkan langkah-langkah bagi maksud pengesanan dan pemantauan selain peruntukan yang melibatkan arahan Ketua Pengarah Kesihatan dan kuasa penguatkuasaan.

Ia termasuk menjalankan penyiasatan, menghendaki ара-ара maklumat berhubungan dengan pencegahan dan pengawalan penyakit berjangkit, serta pendakwaan dengan izin Pendakwa Raya.

“Penguatkuasaan pindaan peruntukan juga melibatkan kadar Penalti Am dan kadar Kompaun baharu bagi individu dan pertubuhan perbadanan bagi maksud kawalan dan langkah pencegahan kesalahan.

“Pindaan-pindaan tunas terhadap Aka 342 in adalah reformasi yang amat penting untuk memastikan kesihatan rakyat dan kesejahteraan negara ketika berhadapan dengan ancaman penyakit berjangkit adalah sentiasa terjamin,” katanya. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here