Nancy Shukri

KUALA LUMPUR – Satu video sidang media yang tular mengenai seorang wanita mendakwa pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) telah memberikan borang kosong dan mengugut beliau untuk menandatanganinya adalah tidak benar.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, individu tersebut keliru dengan maksud yang ingin disampaikan oleh pegawai JKM terbabit sehingga menimbulkan salah faham.

Jelasnya, pegawai tersebut yang bertugas sebagai Pelindung JKM telah menyerahkan satu dokumen pemberitahuan pengambilan kanak-kanak di dalam jagaan sementara jabatan itu.

“Prosedur pemakluman atau pemberitahuan ini adalah selaras dengan peruntukan Seksyen 18 Akta Kanak-Kanak.

“Pegawai tersebut bukan meminta dia mengaku melakukan sebarang kesalahan yang boleh dihadapkan ke mahkamah apabila memintanya menandatangani kertas itu.

“Sebaliknya, tandatangan tersebut adalah ‘Akaun Penerimaan’, yang menunjukkan bahawa wanita terbabit telah menerima pemakluman mengenai keadaan anaknya yang selamat di bawah perlindungan JKM pada masa itu.

“Oleh itu, saya harap penerangan saya ini dapat memberi pencerahan terhadap dakwaan bahawa pegawai JKM melakukan prosedur yang tidak betul,” katanya.

Beliau berkata demikian menjawab soalan tambahan pada Sesi Penerangan Menteri Berkenaan Isu Kebajikan Kanak-Kanak Yang Diselamatkan Dalam Op Global Membabitkan GISB Holdings Sdn. Bhd. (GISB).

Sebelum ini, tular video sidang media seorang wanita mendakwa pegawai JKM telah memberikan borang kosong dan mengugut beliau untuk menandatanganinya.

Borang itu didakwa digunakan sebagai pengakuan ibu bapa melakukan kesalahan untuk mengambil anak mereka. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here