JOHOR BAHRU – Pengumuman cuti mingguan Johor daripada Jumaat dan Sabtu kepada Sabtu dan Ahad mulai 1 Januari 2025 menimbulkan pelbagai polimik di negeri ini.
Pengumuman pertukaran itu oleh Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail pada 10 Oktober lalu mendapat reaksi berbeza daripada pelbagai pihak dan lapisan masyarakat.
Sepatutnya sebelum cuti mingguan Johor pada Jumaat dan Sabtu dilaksanakan pada 1 Januari 2014, satu kajian dan pungutan suara secara menyeluruh babit semua pihak wajar dilakukan.
Ini bagi mengelak keputusan flip flop sekali gus smemberi kesan terhadap negeri ini.
Sebelum ini apabila pelaksaan cuti mingguan pada Jumaat dan Sabtu itu tidak selaras antara pihak kerajaan dan swasta, sudah tentu akan menimbulkan masalah dan ketidakselarian.
Sepatutnya pada masa itu kerajaan negeri mewajibkan semua pihak swasta cuti pada Jumaat dan Sabtu, sama seperti cuti mingguan bagi kerajaan.
Perubahan pada masa itu sebenarnya mengembalikan semula cuti hujung minggu asal (Jumaat-Sabtu) yang dilaksanakan Johor sejak sekian lama sebagai sebuah Negeri Melayu Tidak Bersekutu.
Johor hanya melaksanakan hujung minggu Sabtu dan Ahad bermula pada 1994 apabila ditukar semasa pentadbiran Tan Sri Muhyiddin Yassin selaku Menteri Besar Johor.
Apabila diumumkan Johor akan menukar semula cuti kepada Sabtu-Ahad minggu lalu, pelbagai pihak menyatakan persetujuan dan mengalu-alukanya namun tidak kurang juga yang tidak bersetuju.
Terdapat pemimpin di negeri ini yang tidak bersetuju dengan penyelarasan cuti mingguan itu manakala rakyat pula menyambut baik pertukaran tersebut.
Contohnya Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim mahu cuti mingguan Johor (Jumaat-Sabtu) dikekalkan kerana mempunyai makna dalam konteks sejarah dan budaya Johor.
“Johor adalah sebuah negeri Melayu dalam Persekutuan Tanah Melayu daripada kumpulan Negeri-Negeri Melayu tidak bersekutu. Sama seperti negeri-negeri Kelantan, Terengganu dan Kedah.
“Di negeri-negeri Melayu tidak bersekutu ini, cuti hujung minggu ialah pada hari Jumaat dan Sabtu. Negeri-negeri Melayu tidak bersekutu ini adalah negeri yang paling kurang pengaruh jajahan Inggeris yang mengenakan pengaruh budaya ke atas tanah jajahannya,” katanya.
Begitu juga Timbalan Pesuruhjaya Pas Johor, Dr Mohd Mazri Yahya yang sama pendirian dengan Hassan dan mendakwa cuti hujung minggu pada Sabtu dan Ahad adalah peninggalan penjajah.
Yang Dipertua Pas Kawasan Johor Bahru itu berkata, sekiranya kerajaan negeri sudah nekad untuk menukar cuti mingguan di Johor atas desakan ekonomi, beberapa perkara dicadangkan.
Jelasnya, beberapa perkara tersebut adalah bagi mengekalkan budaya Johor terus dimartabatkan.
Sementara bagi sebahagian rakyat pula, penyelarasan semula cuti hujung minggu itu disambut baik terutama ahli keluarga yang bekerja dalam sektor kerajaan dan swasta.
Abrizah Abu Bakar, 60, berpendapat, penyelarasan sama antara cuti pekerja kerajaan dan swasta dilihat lebih memudahkan pergerakan dan aktiviti dalam keluarga.
Suri rumah itu berkata, cuti yang berbeza antara anak yang bersekolah pada Jumaat dan Sabtu dengan cuti ibu bapa pada Sabtu dan Ahad sedikit menyukarkan perancangan meluangkan masa bersama-sama pada hujung minggu.
“Mungkin selepas ini lebih mudah bagi kami merancang aktiviti pada hujung minggu supaya menjalani gaya hidup lebih sihat dan berkualiti.
“Sebagai umat Islam, saya juga yakin perubahan cuti ini tidak menjejaskan umat Islam di negeri ini untuk menunaikan solat Jumaat seperti biasa,” katanya.
Bagi P Siva Kumar, 60, berkata, penyelarasan terbaharu cuti hujung minggu menjadi langkah bijak bagi Johor yang akan melalui pelbagai fasa pembangunan.
Dia berkata, penyelarasan cuti amat penting dan memudahkan pelabur seiring dengan usaha mewujudkan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) dan Zon Kewangan Khas (SFZ) Forest City.
“Apabila Johor menjadi perhatian seluruh dunia, usaha menyelaraskan cuti hujung minggu ini mampu memanfaatkan pelbagai pihak termasuk rakyat tempatan, pelancong dan pelabur asing.
“Saya yakin ia juga memudahkan urusan terutama membabitkan syarikat yang berurusan dengan pihak di luar Johor sama ada di peringkat nasional mahupun antarabangsa,” katanya.
Sementara itu, Dr Gary Ko, 53, berkata, langkah itu mampu melancarkan urusan orang ramai dan amat tepat sekali untuk memastikan Johor terus maju dan seiring negeri lain.
“Saya sokong langkah kerajaan ini dan harap keputusan ini dilakukan kerana ia mampu memberikan pelbagai manfaat kepada masyarakat dan negeri ini,” ujarnya.- MalaysiaGazette