AMPANG – Penghuni di Jalan E6, Taman Melawati di sini yang terjejas akibat insiden tanah runtuh kini boleh menarik nafas lega apabila dibenarkan pulang ke rumah masing-masing bermula pukul 6 petang ini.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd Azam Ismail berkata, keputusan itu dibuat hasil perbincangan bersama agensi terlibat selepas kerja-kerja mitigasi pembaik pulih dilakukan yang memasuki hari ketiga.
“Selain itu, kerja-kerja laluan mitgasi dan penyelenggaraan cerun yang sedang giat dijalankan oleh Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ).
“Pada masa sama, kita nak maklumkan tiada pergerakan baharu dikesan menerusi kajian yang dilakukan Jabatan Mineral dan Geosains (JMG),” katanya dalam sidang media hari ini.
Bagaimanapun, Mohd Azam mengingatkan penduduk untuk sentiasa berjaga-jaga selain mengharapkan tiada lagi insiden tanah runtuh berlaku pada masa depan.
Mengulas lanjut perkembangan semasa kerja penyelenggaraan di lokasi kejadian, beliau memaklumkan, ia dijangka dilakukan secara berterusan sehingga esok.
“Jadi saya rasa ia tidak akan menganggu rutin harian penduduk sekitar kerana kerja penyelenggaran terpaksa dilakukan bagi mengelak hakisan tanah secara berterusan namun jika perlu lebih masa maka kita akan teruskan.
“Kita juga akan mengekalkan pos keselamatan polis dan bomba di sekitar kawasan terkesan ini (Jalan Serdang) sehingga esok pagi tetapi di Jalan G2 (di atas), MPAJ masih lagi ditutup buat sementara,” jelasnya.
Sementara itu, Ketua Penolong Pegawai Penjabat Daerah dan Tanah Gombak, Ahmad Fitri berkata, pihak terlibat akan meneruskan kerja penyelenggaran bagi pemasangan penghadang sementara di kawasan cerun.
“Berdasarkan perbincangan bersama agensi terlibat, esok adalah kerja penyelenggaraan cerun dan kerja baik pulih atau pembaikan bagi jangka masa panjang akan dilakukan pemilik tanah atau pemaju.
“Sekarang ini antara kaedah-kaedah yang kita lakukan seperti pemotongan pokok, tanah-tanah dekat tepi (kesan jatuh) pihak MPAJ akan membersihkan,” jelasnya.
Mengenai keyakinan keselamatan penduduk, Ahmad Fitri berkata, penghadang tanah sementara akan diletakkan di kawasan cerun itu.
“Berdasarkan perbincangan bersama agensi terlibat seperti JMG dan Cawangan Kejuruteraan Cerun Jabatan Kerja Raya Malaysia (CKC JKR), tindakan yang perlu diambil kes ini sudah dimakumkan kepada MPAJ dan pemilik tanah.
“Untuk keyakinan ke atas keselamatan penduduk pula, penghadang tanah sementara juga akan diletakkan oleh MPAJ bagi mengurangkan impak jika ada apa-apa berlaku,” ujarnya.
Dalam pada itu, beliau juga memaklumkan penduduk yang terkesan boleh membuat tuntutan dari Tabung Amanah Bencana Negeri Selangor.
“Kesemua isi rumah yang terjejas akibat bencana ini boleh memperoleh bantuan sebanyak RM500 dan permohonan dibuat melalui Pejabat Penghulu Mukim berdekatan,” katanya. – MalaysiaGazette