Gobind Singh Deo.

KUALA LUMPUR – Peruntukan sebanyak RM1.3 billion kepada Kementerian Digital menerusi Belanjawan 2025 yang diumum Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam diyakini dapat memperkukuhkan ekonomi industri itu dalam negara.

Menterinya, Gobind Singh Deo berkata, ia termasuklah galakan untuk kecerdasan buatan (AI) yang sedang menjadi tumpuan.

Dalam masa yang sama, beliau turut menyambut baik peruntukan khas untuk penubuhan Rangkaian Keselamatan AI ASEAN (ASEAN AI Safe Network) bagi menggembleng kepakaran dan aspek-aspek keselamatan berkaitannya.

Jelasnya, ini membuktikan kerajaan berusaha untuk mewujudkan ekosistem digital yang selamat dan berdaya saing.

“Ternyata, Kerajaan Madani menitikberatkan kesejahteraan dan kemakmuran rakyatsejagat. Inisiatif-inisiatif dalam Belanjawan 2025 akan terus membantu Kementerian Digital menerajui usaha transformasi digital, mewujudkan satu ekosistem digital
negara yang cekap dan selamat sekaligus melonjakkan ekonomi digital negara dan merapatkan jurang sosio-ekonomi di kalangan rakyat Malaysia,” katanya menerusi kenyataan.

Gobind berkata, fokus itu dijangka akan membantu negara mencapai sasaran sumbangan ekonomi digital sebanyak 25.5 peratus kepada keluaran dalam negara kasar (KDNK) pada tahun depan.

Selain itu, beliau turut mengalu-alukan peruntukan kepada kementerian-kementerian lain yang menjurus kepada galakan memperkukuhkan ekosistem digital dan teknologi baharu termasuklah pelaksanaan e-invois secara sepenuhnya pada 1 Julai 2025 di mana elaun modal diberikan untuk pembelian peralatan teknologi komunikasi dan maklumat (ICT) dan perisian computer.

Beliau turut menyentuh pengumuman Anwar merangkap Menteri Kewangan mengenai peruntukan berjumlah RM50 juta untuk pembelajaran AI kepada semua universiti penyelidikan.

“Ini merupakan tambahan sebanyak RM30 juta berbanding RM20 juta yang diperuntukan dalam Belanjawan 2024. Potongan cukai untuk Institut Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) yang membangunkan kursus berkaitan teknologi digital, AI, robotik, IoT, dan teknologi mampan, peruntukan kepada Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA) untuk penambahan jawatan demi mengukuhkan pelaksanaan Akta Keselamatan
Siber 2024.

“RM50 juta untuk Geran Padanan Digital untuk PMKS dan Geran Digital Penjaja di bawah BSN untuk usahawan tempatan kekal berdaya saing dalam pasaran, sekali gus bagi meningkatkan kapasiti perniagaan PMKS dengan beralih ke arah pendigitalan,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here