Azman sedang berhubung menerusi radio dengan pemimpin pengakap luar negara sebagai simbolik kepada perasmian JOTA-JOTI Peringkat Kebangsaan Zon Timur di Kem Pengakap Tengku Muhammad Ismail, Kuala Terengganu. Turut kelihatan, Ahmad Sabri dan Shahrul Azwan.Ihsan Ibu Pejabat Pengakap Malaysia.

KUALA LUMPUR – Program Jambori di Udara dan Jambori di Internet (JOTA-JOTI) Peringkat Kebangsaan Zon Timur 2024 yang bermula semalam merupakan platform pemerkasaan kemahiran berkomunikasi dalam kalangan pengakap muda melalui radio amatur dan internet.

Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia, Azman Adnan menyifatkan acara itu sebagai cara memupuk nilai kerjasama dan menyatukan kepimpinan pengakap tanpa sempadan yang membolehkan pengakap dari pelbagai negara bertukar idea dan pengalaman.

“JOTA JOTI merupakan platform terbaik dalam memperluaskan perspektif anak-anak muda, khususnya para pengakap, dalam dunia komunikasi dan teknologi.

“Acara ini bukan sahaja memperkasa kemahiran berkomunikasi melalui radio amatur
dan internet, malah ia juga mengajar nilai-nilai kerjasama, disiplin, dan kepercayaan sesama ahli pengakap dari pelbagai negara yang merupakan asas kepada kepimpinan tanpa sempadan, yang mana pengakap diajar untuk melihat dunia dengan lebih luas dan
menerima cabaran global sebagai peluang untuk berkembang.

“Tahun ini, dengan tema “Scouts for a Greener World”, kita memberi tumpuan kepada isu yang semakin penting dalam dunia hari ini iaitu kelestarian alam sekitar,” katanya dalam ucapan perasmian tersebut.

Beliau berkata demikian selepas hadir menyempurnakan majlis perasmiaan JOTA-JOTI Kebangsaan Zon Timur 2024 di Kem Pengakap Tengku Muhammad Ismail, Terengganu yang menghimpunkan warga pengakap daripada Terengganu, Johor, Negeri Sembilan, Pahang dan Kelantan serta peserta antarabangsa iaitu Gerakan Pramuka Indonesia dengan matlamat untuk berhubung, bertukar-tukar pengalaman, dan mengukuhkan jaringan persahabatan tanpa sempadan.

Azman bersama Timbalan Ketua Pesuruhjaya Pengakap Negara Ahmad Sabri Saad di Majlis Perasmian Program Jambori di Udara dan Jambori di Internet (JOTA-JOT, di Terengganu semalam.Ihsan Ibu Pejabat Pengakap Malaysia.

Tambah Azman, pengakap sentiasa memainkan peranan aktif dalam usaha melestarikan alam sekitar, dan melalui JOTA JOTI ini, kita semua diajak untuk memanfaatkan teknologi dan rangkaian global dalam meluaskan lagi kesedaran dan tindakan bagi menjaga bumi yang dicintai.

Generasi muda terutamanya ahli pengakap, mempunyai tanggungjawab besar  memelihara alam sekitar dan memastikan bumi terus hijau dan lestari untuk generasi akan datang.

Jelasnya lagi, dalam dunia yang semakin global dan mencabar  menjadi tanggungjawab semua untuk melahirkan pemimpin muda bertaraf antarabangsa dan pengakap merupakan salah satu platform terbaik untuk mencorak pemimpin muda.

Ini kerana ia memberi mereka peluang untuk berinteraksi dengan rakan-rakan dari seluruh dunia, bertukar-tukar idea, dan menyelesaikan cabaran bersama-sama.

“Kepimpinan tanpa sempadan ini bukan sahaja bermakna menjadi pemimpin di peringkat tempatan, tetapi juga mampu memberi impak di peringkat global dan sokongan penuh daripada pelbagai pihak.

“Kita yakin bahawa pemimpin muda Malaysia mampu menjadi agen perubahan yang berkesan, bukan hanya di negara ini, tetapi di seluruh dunia,” ujarnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast