KUALA LUMPUR – Seorang ahli parlimen pembangkang melahirkan rasa sebak ketika menceritakan mengenai keperitan yang dialami rakyat bawahan .
Datuk Siti Zailah Mohd Yusoff (PN-Rantau Panjang) menzahirkan rasa sedihnya itu ketika mencelah perbahasan Datuk Seri Hamzah Zainuddin, di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau menyatakan hatinya tersentuh dengan apa yang diucapkan oleh Ketua Pembangkang itu ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan 2025.
“Saya sebagai ibu yang berada di kawasan pedalaman yang setiap hari melihat realiti hidup rakyat, apa yang disebut YB (Yang Berhormat) ini sebenarnya itu yang berlaku di bawah.
“Walaupun kerajaan berbangga dengan angka inflasi 1.9 peratus, sebenarnya rakyat tak merasa… hakikatnya kehidupan di bawah semakin berat dan terbeban,” katanya.
Dengan merujuk laporan sebuah akhbar tempatan, mengenai kisah seorang wanita yang dijumpai tidak bermaya di Taman Indah, Sungai Abong, Johor apabila di sisinya ada jasad ayah dan adiknya yang sudah meninggal dunia kerana kelaparan, Siti Zailah berharap masalah yang dialami wanita itu sekeluarga dapat diambil perhatian dan diberi tumpuan.
“Apakah ingin kita lihat dalam negara kita ini ramai lagi rakyat Malaysia mati kelaparan? Ini satu kezaliman kepada rakyat.
“Jadi…saya ingin padangan YB tentang isu sedang melanda hari ini,” katanya. – MalaysiaGazette