Suspek utama, Siti Hajartul Aini Abd Hamid, 37 tahun

KUALA LUMPUR – Lima individu ditahan terlibat sindiket penipuan pelaburan emas membabitkan dua syarikat, ‘PA Jewellery’ dan ‘Paddy Jewellery’ oleh Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang pada 21 dan 22 Oktober lalu.

Ketua Komisioner, Dato Sri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, penahanan dilakukan setelah siasatan mendapati sindiket tersebut bertanggungjawab terhadap kerugian besar yang dialami oleh pelabur.

“Individu utama yang ditahan ialah Siti Hajartul Aini Abd Hamid, 37 tahun berkait secara langsung dengan sindiket penipuan pelaburan itu yang telah menipu pelabur dengan janji pulangan lumayan daripada pelaburan emas.

“Selain Siti, empat lagi individu turut diberkas dalam operasi berasingan yang dijalankan di beberapa lokasi sekitar Kedah dan Kuala Lumpur. Tiga daripada mereka adalah lelaki dan seorang wanita, berusia antara 29 hingga 38 tahun,” katanya dalam satu kenyataan.

Dalam serbuan tersebut, polis turut merampas enam telefon bimbit pelbagai jenama dan satu pasport Malaysia.

Kesemua suspek kini direman sehingga 25 Oktober 2024 bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Menurut laporan, sehingga kini, sebanyak 69 laporan polis telah diterima berkaitan penipuan pelaburan yang melibatkan kedua-dua syarikat ini.

Jumlah keseluruhan kerugian yang dilaporkan oleh mangsa mencecah RM48.5 juta, menjadikan sindiket ini salah satu penipuan pelaburan terbesar pada tahun ini.

Hasil siasatan mendapati sindiket menawarkan lima pakej pelaburan dengan janji pulangan yang dikaitkan dengan harga emas semasa.

Pelabur yang tertarik dengan tawaran tersebut diarahkan membuat pembayaran ke akaun syarikat ‘Paddy Jewellery’ dan ‘Paddy Legacy’.

“Pelabur tidak menerima sebarang pulangan seperti yang dijanjikan, menyebabkan ramai yang membuat laporan polis setelah menyedari mereka telah ditipu.

“Taktik sindiket ini jelas menggunakan modus operandi licik untuk memperdaya orang ramai,” ujarnya.

Pihak polis juga mengingatkan orang ramai supaya lebih berhati-hati sebelum menyertai sebarang skim pelaburan yang menjanjikan pulangan yang terlalu tinggi dan kelihatan mencurigakan. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here