Sebahagian daripada syabu yang dirampas polis Pulau Pinang dalam serbuan di Bukit Mertajam dan Butterworth.

SEBERANG PERAI –  Polis berjaya membongkar sindiket pengedaran dadah jenis syabu selepas merampas kira-kira 20 kilogram syabu bernilai RM640,000 sekitar Seberang Perai Utara dan Seberang Perai Tengah.

Ia susulan penahanan seorang wanita dan dua lelaki tempatan berusia lingkungan 25 hingga 39 tahun yang disyaki terbabit dengan kegiatan berkenaan.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Hamzah Ahmad berkata, rampasan dan tangkapan itu dibuat hasil serbuan operasi terancang yang dilakukan serentak antara  4 petang semalam hingga 2 pagi hari ini.

“Tangkapan pertama membabitkan seorang lelaki dan wanita di parkir kereta di Butterworth sebelum merampas bungkusan plastik lutsinar berisi dadah dengan anggaran berat 1,036 gram.

Antara barang yang disita dalam serbuan tersebut.

“Susulan itu, kita menahan seorang lagi lelaki dipercayai ahli sindiket di sebuah rumah di kawasan Bukit Mertajam dan merampas bungkusan plastik berisi dadah syabu dengan anggaran berat lebih 12 kilogram.

“Dalam serbuan itu kita turut menyita sebuah kereta jenis BMW, seutas rantai leher, seutas gelang tangan dan sepasang subang dengan nilai keseluruhan rampasan dadah serta sitaan berjumlah RM705,686,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, Hamzah berkata, hasil risikan mendapati sindiket berkenaan bergiat aktif pada awal Oktober tahun ini dan ia bagi pasaran tempatan.

“Selain itu, ujian saringan air kencing mendapati kesemua tangkapan negatif dadah namun mereka mempunyai rekod lampau kesalahan dadah serta jenayah.

“Kesemua tangkapan direman selama enam hari sehingga 3 November depan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast