Anggota bomba sedang melakukan kerja-kerja mencari seorang lelakiyang dipercayai terjatuh dalam Sungai Simpang Kanan di Batu Pahat, semalam.

BATU PAHAT – Seorang lelaki dipercayai terjatuh ke dalam Sungai Simpang Kanan di sini selepas kereta digunakannya ditemui di tepi jalan atas Jambatan Bindu di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Shahrulanuar Mushaddat Abdullah Sani berkata, kejadian dilaporkan berlaku pukul 10.09 pagi.

“Seorang wanita tempatan berusia 50 tahun iaitu ibu saudara mangsa yang dilaporkan hilang sebelum ini mengadu berkenaan kejadian tersebut.

“Menurut wanita itu, kereta digunakan oleh anak saudaranya Lim Yu Feng, 27, ditemui atas jambatan Bindu dengan semua dokumen diri serta telefon bimbitnya ditinggalkan dalam kenderaan berkenaan.

“Pemeriksaan lanjut oleh ahli keluarga lelaki berkenaan turut menemui sepasang selipar diletakkan atas jambatan tidak jauh daripada kenderaan berkenaan.

“Pemeriksaan serta pertanyaan kepada ahli keluarga yang lain turut gagal menemui atau memastikan keberadaan lelaki berkenaan menyebabkan wanita itu mengesyaki bahawa anak saudaranya telah terjatuh atas jambatan berkenaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sehubungan itu, menurut Shahrulanuar, satu operasi mencari dan menyelamat (SAR) dilakukan bersama Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) serta Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).

Ujarnya, pencarian dilakukan sekitar kawasan dilaporkan hilang dengan menggunakan tiga bot sehingga pukul 6 petang semalam namun gagal menemui lelaki berkenaan.

Ujarnya, sehingga kini siasatan awal polis masih tidak mengesahkan samada lelaki berkenaan telah terjatuh ke dalam Sungai Simpang Kanan kerana belum ditemui mana-mana saksi yang melihat atau boleh mengesahkan kejadian tersebut.

“Bagaimanapun polis akan meneruskan SAR di Sungai Simpang Kanan disamping menjalankan siasatan kes mengikut Kes Orang Hilang.

“Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian ini atau berkaitan keberadaan lelaki berkenaan dapat tampil menyalurkan maklumat atau berhubung terus dengan mana-mana balai polis berdekatan bagi membantu siasatan,” katanya.

Sementara itu, Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Penggaram, Pegawai Bomba Kanan II, Ikhsaan Husain berkata, seramai lapan anggota dikejarkan ke tempat kejadian.

Menurutnya, mereka turut dibantu satu jentera Fire Rescue Tender (FRT), dua jentera Rapid Intervention Motorcycles (RIM) dan satu Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS).

“Mangsa didapati terjatuh dalam Sungai Bindu berhampiran Jambatan Bindu, Tongkang Pecah di sini. Operasi pencarian dilakukan dalam radius 1.5 kilometer dari lokasi kejadian manakala pencarian di sungai dijalankan menggunakan bot aluminium sejauh 5 kilometer.

“Selain itu, Pasukan unit Scuba yang diketuai Pegawai Bomba Kanan II Hakim turut tiba di lokasi bagi menyokong usaha pencarian yang masih dilakukan sehingga kini,” katanya.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast