SUNGAI PETANI – Seorang suri rumah maut disengat seekor tebuan di Taman Semarak, Sungai Pasir, di sini, semalam.
Mangsa, Rohani Mohd Shariff, 61, dilaporkan meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH), di sini.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Wan Azharuddin Wan Ismail berkata, hasil siasatan mendapati anak mangsa pulang ke rumah pada jam 8 malam sebelum mendapati ibunya berada dalam kesakitan.
“Mangsa memaklumkan kepada anak lelakinya bahawa dia terkena sengatan seekor tebuan ketika berada dalam rumah tersebut.
“Susulan itu, lelaki tersebut menelefon ambulans HSAH untuk tindakan lanjut namun mangsa disahkan meninggal dunia dalam perjalanan.
“Semakan lanjut juga mendapati mangsa tiada mempunyai sebarang rekod kesihatan,”katanya dalam kenyataan media hari ini.
Tambah Wan Azharuddin, siasatan lanjut mendapati tiada unsur jenayah dalam kes ini dan diklasifikasikan sebagai mati mengejut. – MalaysiaGazette
















