JOHOR BAHRU – Parti Amanah Negara (Amanah) Johor menyasarkan untuk bertanding 12 hingga 20 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.
Timbalan Pengerusi Amanah Johor, Sr Dzulkefly Ahmad berkata, keputusan itu merupakan persediaan parti untuk bertanding sehingga 20 daripada 56 kerusi DUN di negeri ini.
Jelas beliau, keputusan tersebut dibuat walaupun mereka akan bergabung dengan Barisan Nasional (BN) atau bersama-sama gabungan asal Pakatan Harapan (PH).
“Kami telah pun mengenal pasti antara DUN sasaran kami yang akan menjadi pilihan kami dalam mencapai objektif kami selain mengekalkan satu kerusi yang sedia ada iaitu DUN Simpang Jeram.
“Dalam langkah persediaan awal ini, kami akan membawa pandangan serta keputusan ini kepada kepimpinan tertinggi Parti Amanah.
“Ini termasuk kepimpinan daripada parti gabungan PH baik di peringkat negeri mahu pun di peringkat pusat,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sehubungan itu, pihaknya juga tidak menolak kemungkinan akan berlakunya pertandingan tiga penjuru antara PH, BN dan Perikatan Nasional (PN) dalam PRN atau pilihan raya umum (PRU) di Johor nanti.
Katanya, persediaan itu juga sebagai langkah Amanah Johor tidak bersetuju dengan kepimpinan BN Johor yang langsung tidak ada kemahuan untuk membentuk kerajaan Perpaduan di negeri ini walaupun selepas menang Pilihan Raya Kecil (PRK) Mahkota baru-baru ini.
“Kami tegaskan sekali lagi bahawa keputusan dari Amanah Johor adalah disebabkan tiada rundingan langsung berkenaan kerajaan Perpaduan daripada pihak BN hingga tarikh kenyataan media ini dikeluarkan,” katanya.
Kerajaan negeri BN ditubuhkan di Johor selepas gabungan itu memenangi 40 daripada 56 kerusi DUN Johor dalam PRN pada Mac 2022.- MalaysiaGazette
















