KULAI – Perincian mengenai Perjanjian Bersama Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) antara Malaysia dengan Singapura akan dikongsikan beberapa minggu lagi.
Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, selepas itiu perjanjian tersebut dimenterai pada 9 Disember ini di Putrajaya ketika Sesi Pemukiman Pemimpin-Pemimpin Malaysia-Singapura.
“Tarikh dan lokasi pemeteraian JS-SEZ itu telah dibincangkan pada Mesyuarat Jawatankuasa Bersama Menteri bagi Iskandar Malaysia (JMCIM) di Johor Bahru, hari ini.
“Kita memang menantikan pemeteraian antara kerajaan Malaysia dan Singapura ini, tetapi perincian mengenainya akan dikongsikan dalam beberapa minggu lagi.
“Saya diberitahu secara tentatifnya akan dibuat di Putrajaya ketika ‘Malaysia-Singapore Leaders Retreat’,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyempurnakan Majlis Pembukaan Pusat Logistik Serantau Mercedes-Benz Parts Logistics Asia Pacific Sdn Bhd di Senai di sini hari ini.
Turut hadir Pegawai Daerah Kulai, Fizwan Mohd Rashidi dan Ketua Operasi Logistik Mercedes-Benz Parts Global, Klaus Ziemsky.
Mengulas lanjut mengenai (JMCIM), Onn Hafiz berkata, mesyuarat itu berjalan lancar dengan mempamerkan persefahaman yang baik antara dua negara.
“Dengan persefahaman yang baik antara Malaysia dan Singapura, kita mengambil peluang untuk bekerjasama demi faedah bersama dua negara dan khususnya untuk Johor,” katanya.
Dalam majlis itu, Onn Hafiz menyaksikan pembukaan Pusat Logistik Serantau Mercedes-Benz Parts Logistics Asia Pacific Sdn Bhd di Senai Airport City (SAC) membabitkan pelaburan RM1.5 bilion.
Menurut beliau, kehadiran Mercedes-Benz di Johor membuktikan bahawa negeri ini adalah lokasi terbaik pelaburan.
“Saya sangat gembira dan berbangga melihat apa yang dibuat oleh Mercedes-Benz yang mana ia hasil kolaborasi antara kerajaan Persekutuan dan Mercedes-Benz dibantu agensi-agensi berkaitan.
“Kita ambil Kulai Fast Lane (KFL) punya inisiatif dan kita perluaskan. Kita jemput pelaburan dan perniagaan lain masuk ke negeri ini dan kita akan bantu,” katanya.- MalaysiaGazette