Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil bercakap pada Sidang Media Mingguan Kementerian Komunikasi di Putrajaya. Foto SADIQ SANI, 08 NOVEMBER 2024

PUTRAJAYA – Kementerian Komunikasi tidak berhasrat untuk menyemak semula pemilihan U Mobile Sdn. Bhd. (U Mobile) sebagai penyedia rangkaian 5G Kedua Malaysia.

Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata, ia kerana dalam konteks pemilihan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), ia dilakukan secara bebas oleh pasukan teknikal dalam suruhanjaya itu.

Malah ia juga diputuskan secara sebulat suara oleh ahli-ahli suruhanjaya di mana kerajaan tidak terlibat dan masuk campur dalam pemilihan itu.

“Saya perlu peringatkan ini bukan kontrak, ini bukan lesen. Kalau kita lihat dalam sidang Parlimen, bila saya menjawab pada tempoh hari sewaktu sesi soal jawab menteri, saya dapati kebiasaannya ahli-ahli Parlimen akan mengambil peluang untuk bertanya lanjut.

“Ada yang membangkitkan soalan dan sekiranya ada dalam kalangan mereka yang ingin mendapat maklumat tambahan, saya sedia untuk memberikan,” katanya.

Beliau yang juga Jurucakap Kerajaan Perpaduan berkata demikian pada sidang media di sini hari ini.

Beliau ditanya sama ada kerajaan akan menyemak semula pemilihan U Mobile selepas menerima beberapa kritikan daripada pihak-pihak tertentu selepas pengumuman dibuat.

Mengulas lanjut, Fahmi berkata, selepas ini, MCMC akan memanggil pihak U Mobile untuk mengadakan perbincangan.

“Kita semua sedia maklum, U Mobile sehari selepas pengumuman oleh MCMC telah memaklumkan mereka bersedia untuk bekerjasama dengan sejumlah rakan-rakan strategik sama ada dalam kalangan syarikat penyedia perkhidmatan mudah alih dan sebagainya.

“Jadi kita tunggu pertemuan itu dulu, pihak MCMC akan mendapat maklum balas daripada pihak U Mobile, apakah perancangan mereka, perbincangan mereka dan mungkin selepas itu akan ada makluman susulan,” katanya.

Semalam di Parlimen, Fahmi menjelaskan keputusan untuk memilih U Mobile sebagai penyedia rangkaian 5G Kedua Malaysia adalah tidak bertentangan dengan syarat khas lesen bagi suatu lesen individu.

Beliau berkata, kerajaan melalui MCMC telah melaksanakan proses terperinci dari aspek teknikal dan komersial untuk memilih pengendali rangkaian mudah alih (MNO) yang akan melaksanakan rangkaian 5G kedua negara.

“Pemilihan ini telah dilaksanakan melalui proses beauty contest atau dalam bahasa mudah menerusi proses tender dan bukannya secara penganugerahan terus atau direct award,” katanya pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat semalam.

Fahmi berkata, pemilihan syarikat pelaksana rangkaian 5G kedua dibuat berdasarkan gabungan beberapa faktor seperti rancangan perniagaan dan teknikal yang dikemukakan, rekod kadar aduan dan kepuasan pelanggan serta prestasi mereka dalam melaksanakan inisiatif infrastruktur lain. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast