KUALA LUMPUR- Mahkamah Majistret Selayang hari ini melepas dan membebaskan pegawai polis, Sheila Sharon Steven Kumar atas pertuduhan menghina kesopanan seorang peguam, tahun lalu.
Keputusan dibuat Majistret Nur Hafizah Rajuni selepas mangsa dan juga saksi, P Taneswaran, 41, tidak mahu meneruskan kes pada perbicaraan pertama, hari ini.
Pada 26 Jun 2023, tertuduh yang lebih dikenali sebagai Inspektor Sheila mengaku tidak bersalah atas satu pertuduhan menghina kesopanan Taneswaran dengan berkata, “You tengok badan you, gemuk, botak dan badak sumbu.”
Kesalahan didakwa dilakukan di Taman Sri Gombak di sini, pada 1 tengahari, 15 Jun 2023.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman maksimum penjara lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.
Prosiding dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nurilya Ellyna Azmal.
Sheila bagaimanapun masih berdepan dua lagi kes iaitu mengugut seorang wanita, M Silverkoomarie, 70, dengan niat untuk mendatangkan kegentaran kepada mangsa pada jam 12 tengah hari, pada tarikh dan lokasi sama.
Dia didakwa mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Bagi pertuduhan kedua, dia dituduh menyebut pangkat polis dengan cara tidak wajar kepada Lans Koperal Abdul Arif Farhan Abdul Razak dengan maksud mengaibkan kehormatannya, di lokasi sama pada jam 1.25 tengahari 15 Jun tahun lalu dan dituduh mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan. -MalaysiaGazette
















