JOHOR BAHRU – Dua pusat hiburan dan bistro di Taman Mount Austin di sini dikesan menawarkan pakej gadis pelayan pelanggan (GRO) warga Thailand untuk menemani lelaki minum dengan harga serendah RM50.
Bukan itu sahaja premis terbabit turut didakwa menawarkan GRO yang dilanggan boleh dibawa pulang dengan harga sangat berpatutan iaitu sehingga RM800.
Bagaimanapun katanya, kegiatan tidak bermoral itu terbongkar selepas diserbu Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Johor dalam Ops Gegar pukul 1.30 pagi pada Sabtu lalu.
“Dalam serbuan itu seramai 36 wanita Thailand berusia diberkas dipercayai dieksploitasi untuk tujuan aktiviti persundalan.
“Turut diberkas tiga lelaki warga Myanmar serta masing-masing seorang lelaki warga Laos dan Vietnam,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurutnya, semua GRO dan lelaki warga asing yang ditahan tersebut berusia 21 hingga 47 tahun.
Mohd Rusdi berkata, selain itu, tiga lelaki warga tempatan yang terdiri daripada pemilik premis dan penjaga berusia antara 19 hingga 52 tahun turut ditahan.
Hasil siasatan awal ujarnya, mendapati warga asing itu memasuki Malaysia menggunakan Pas Lawatan Sosial (PLS) sebagai pelancong namun menyalahgunakan kemudahan yang diberi itu.
GRO warga asing itu katanya, dipercayai menggunakan nama samaran untuk mengaburi mata penguatkuasa tetapi taktik mereka berjaya dikesan dengan pelbagai bukti yang ditemui di premis tersebut.
Beliau memberitahu, semua warga asing yang ditahan dipercayai melakukan kesalahan bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) kerana tidak memiliki sebarang pas atau permit yang sah untuk berada di Malaysia.
Mereka turut disiasat bawah Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) kerana tinggal lebih masa dan Peraturan 11(7)(a) Peraturan-peraturan Imigresen 1963 iaitu salah guna Pas Lawatan Sosial (PLS).
Sementara tiga warga tempatan yang ditahan telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 56(1)(d) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) kerana melindungi pendatang asing tanpa izin (PATI), katanya.
Tambahnya, sembilan notis hadir ke pejabat telah dikeluarkan oleh JIM bagi membantu siasatan.
“Kesemua tahanan ditempatkan di Depot Imigresen Setia Tropika untuk siasatan dan tindakan lanjut,” katanya.- MalaysiaGazette