JOHOR BAHRU – Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Johor menahan 23 individu selepas menyerbu lapan premis warga asing yang berniaga tanpa lesen sah di Taman Abad di sini Jumaat lalu.
Unit Tindakan dari Bahagian Penguatkuasa JIM Johor melakukan serbuan itu menerusi Ops Selera, Ops Jaja, Ops Belanja, Ops Kutip, Ops Dandan serta Ops Kutip pada pukul 8.30 malam.
Pengarah JIM Johor, Datuk Mohd Rusdi Mohd Darus berkata, operasi itu susulan aduan berhubung warga asing bekerja tanpa pas atau permit serta tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah.
“Kesemua mereka yang ditahan adalah tujuh lelaki warganegara Pakistan, tiga lelaki dan tiga wanita Indonesia, tiga lelaki India dan empat lelaki Bangladesh.
“Ini termasuk seorang lelaki Myanmar, seorang lelaki Singapura dan seorang lelaki Palestin masing-masing berumur 20 tahun hingga 53 tahun.
“Lelaki Singapura tersebut mempunyai pasport dan bekerja mengambil pesanan manakala lelaki Palestin berkenaan buat shawarma,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Jelasnya, semua mereka ditahan dipercayai melakukan kesalahan bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) kerana tidak memiliki sebarang pas atau permit yang sah untuk berada di Malaysia.
Mereka juga katanya, disiasat bawah Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) kerana tinggal lebih masa dan Peraturan 11(7)(a) Peraturan-peraturan Imigresen 1963 iaitu salah guna Pas Lawatan Sosial (PLS).
“Sebanyak tiga notis hadir ke pejabat telah dikeluarkan JIM bagi membantu siasatan. Kesemua tahanan ditempatkan di Depot Imigresen Setia Tropika untuk siasatan dan tindakan lanjut,” ujarnya.
JIM katanya, akan terus konsisten melaksanakan penguatkuasaan secara berterusan dan besar-besaran terhadap pendatang asing tanpa izin (PATI) terutama lokasi- lokasi tumpuan.
Tambah beliau, pihaknya turut memerangi majikan serta individu yang menggaji pekerja warga asing tanpa dokumen perjalanan dan pas atau permit yang sah.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat tepat tentang keberadaan PATI diseru melaporkan segera kepada JIM Johr menerusi talian 07-2338400 atau emel ke https://imi.spab.gov.my.- MalaysiaGazette