KUALA LUMPUR – Kedah Darul Aman (KDA FC) mengesahkan kelab itu telah membuat keputusan untuk menghentikan perbincangan penjualan 100 peratus saham mereka dengan Mahsuri Medical Centre.
Perkembangan terkini itu dimaklumkan menerusi satu kenyataan di laman Facebook kelab itu hari ini.
“Pihak KDA FC telah menghantar surat kepada pihak Mahsuri Medical Centre pada hari ini, 11 November 2024 untuk memaklumkan bahawa pihak KDA FC telah memutuskan untuk tidak meneruskan perbincangan tentang penjualan 100 peratus saham KDA FC.
“Pihak KDA FC mendoakan yang terbaik kepada Mahsuri Medical Centre dalam pembangunan perniagaan di masa hadapan,” kata kenyataan itu.
Isu pengambilalihan KDA FC yang sedang berdepan isu kewangan kembali panas selepas sebuah syarikat DSAT Group Sdn Bhd melalui anak syarikatnya Mahsuri Medical Centre (MMC) di Jitra dilaporkan berminat untuk memiliki kelab berpangkalan di Utara tersebut.
Pada 3 November lalu, MMC yang diwakili Ketua Pegawai Operasi, Nazar Ahmad Md Noor dikatakan sudah menyerahkan surat tawaran untuk pengambilalihan KDA FC.
Pengerusi Eksekutif DSAT Group, Datuk Seri Azizul Tandek memaklumkan pihaknya mahu mengambil alih 100 peratus saham KDA FC dan liabilitinya, tertakluk dengan terma dan syarat perjanjian. – MalaysiaGazette
















