Seorang lelaki maut selepas motosikal ditunggangnya melanggar seekor lembu di Kilometer 33 Jalan Felda Bukit Serampang-Kebun Baru, Tangkak hari ini

TANGKAK – Seorang lelaki maut selepas motosikal ditunggangnya melanggar seekor lembu di Kilometer 33, Jalan Felda Bukit Serampang-Kebun Baru di sini hari ini.

Timbalan Ketua Polis Daerah Tangkak, Deputi Superitendan Idris Abdul Rahman berkata, kejadian berlaku semasa mangsa, 24, dalam perjalanan ke tempat kerja pada pukul 6.35 pagi.

“Kemalangan berlaku semasa mangsa yang menunggang motosikal Yamaha dalam perjalanan dari Felda Sri Ledang menghala ke tempat kerja.

“Apabila sampai di lokasi kejadian telah melanggar seekor lembu yang berkeliaran atas jalan di laluannya,” katanya dalam kenyataan.

Akibat daripada kemalangan tersebut, mangsa meninggal dunia di tempat kejadian dan lembu berkenaan difahamkan turut mati.

Menurut Idris, kemalangan itu disiasat bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang menyebabkan kematian kerana memandu melulu dan berbahaya.

Polis menasihatkan penduduk memastikan ternakan mereka tidak berkeliaran atas jalan raya dan kawasan lain yang boleh mengganggu kelancaran lalu lintas serta menyebabkan kemalangan.

Tambah beliau, orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu supaya menghubungi Pegawai Penyiasat Inspektor Faszrulhaq Zulkapli 012-230 6943.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast