GEORGE TOWN – Polis menahan seorang penjaja sebelum merampas dua pucuk pistol serta peluru dalam serbuan di negeri ini semalam.
Pemangku Ketua Polis Daerah Timur Laut, Superintendan Lee Swee Sake berkata, lelaki berusia 48 tahun itu ditahan di Jalan Sultan Azlan Shah di sini.
“Berpandukan pada maklumat suspek kita buat rampasan dua pucuk pistol dan beberapa peluru dalam kereta milik suspek di Paya Terubong di sini.
“Hasil siasatan awal suspek mendakwa miliki pistol tersebut untuk perlindungan diri namun kita masih jalankan siasatan lanjut.
“Semakan lanjut juga mendapati suspek memiliki sembilan rekod lampau,” katanya ketika dihubungi MalaysiaGazette hari ini.
Terdahulu, suspek dibawa ke Mahkamah Majistret George Town bagi mendapatkan permohonan reman.
Majistret Shyahirah Abdul Salim membenarkan suspek direman selama tujuh hari sehingga 17 November ini bagi membolehkan pihak polis menjalankan siasatan mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971. – MalaysiaGazette