MELAKA – Seorang remaja lelaki maut selepas motosikal ditunggangi merempuh sebuah kereta yang dipercayai melanggar lampu isyarat di persimpangan Klebang Utama di sini awal pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira 3.30 pagi tadi, mangsa pekerja kendera saji berusia 18 tahun yang berasal dari Bukit Rambai meninggal dunia di lokasi akibat cedera parah di kepala dan badan.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, ketika nahas, penunggang motosikal berkenaan dalam perjalanan dari arah bulatan Klebang menuju ke Limbongan.
“Sebaik tiba di lokasi, sebuah kereta jenis Perodua Bezza dipandu remaja perempuan berusia 17 tahun dari arah Klebang Utama ke bulatan Klebang dipercayai melanggar lampu isyarat.
“Akibatnya kereta berkenaan bertembung dengan motosikal mangsa menyebabkannya parah di kepala dan badan sebelum disahkan meninggal dunia di lokasi,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Tambahnya, mayat kemudian dibawa ke Unit Forensik Hospital Melaka untuk proses bedah siasat dan Pol 61 telah dikeluarkan bagi mengetahui punca kematian.
“Pemandu kereta berkenaan iaitu Pelajar Tingkatan 5 sebuah sekolah di Tanjung Minyak dan mangsa didapati tidak mempunyai lesen memandu.
“Saksi kejadian diminta tampil bagi membantu siasatan mengikut Sek 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya. -MalaysiaGazette