Kumar menunjukkan sebahagian dadah yang dirampas dalam tiga serbuan, selepas sidang akhbar di IPK Johor, Johor Bahru, hari ini.

JOHOR BAHRU – Membeli dadah dan membungkusnya semula sebelum menjualnya ke pasaran.

Itu modus operandi satu sindiket pemborong dadah yang dipercayai terbesar di negeri ini namun kegiatan mereka berjaya dikesan pihak polis.

Ketua Polis Johor, Datuk M Kumar berkata, sindiket pemborong dan pengedar dadah itu tumpas selepas pihaknya melakukan tiga serbuan di daerah ini, Kluang dan Iskandar Puteri awal bulan ini.

“Menerusi serbuan pada pukul 8 malam pada 3 November hingga 11 pagi 4 November lalu, pihak polis menahan tujuh lelaki dan wanita.

“Mereka yang ditahan terdiri daripada tiga lelaki dan dua wanita tempatan serta dua wanita warganegara asing termasuk dalang, semuanya berusia 27 hingga 62 tahun.

“Hasil ujian saringan air kencing mendapati tiga daripada mereka positif dadah jenis Amphetamine dan ketamin,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Kontinjen Polis (IPK) Johor di sini hari ini.

Katanya, menerusi serbuan itu juga pelbagai dadah dirampas bernilai lebih RM28.31 juta.

Beliau memberitahu, menerusi semua serbuan tersebut pihaknya merampas pelbagai jenis dadah iaitu 158,844.8 gram (g) atau 7,358 paket serbuk disyaki ekstasi.

Jelasnya, ini termasuk 7,098g atau 21,510 biji pil disyaki ekstasi; 3,000g atau 11,500 biji pil disyaki erimin 5 dan 6,110g atau 24 paket disyaki ketamin.

“Dadah yang dirampas dalam operasi ini boleh digunakan oleh seramai 857,784 orang penagih. Ini adalah sindiket dengan rampasan dadah terbesar untuk tahun ini, setakat ini.

“Kita turut merampas peralatan memproses dan pembungkusan semula dadah selain menyita empat kereta, wang tunai RM12,200, pelbagai jenis barang kemas, pelbagai mata wang asing berjumlahk RM2,961 yang mana jumlah rampasan dadah dan sitaan mencecah lebih RM28.58 juta,” katanya.

Menurut Kumar, modus operandi sindiket itu adalah dengan menjadikan rumah teres berpagar dan berpengawal sebagai stor penyimpanan dan pembungkusan semula dadah sebelum diedarkan untuk pasaran di Kluang dan Johor Bahru.

Katanya, sindiket yang sudah aktif sejak Ogos lalu itu menjual dadah dengan harga antara RM200 hingga RM250 bagi satu paket dadah yang dibungkus.

Beliau berkata, hasil ujian saringan air kencing mendapati tiga daripada suspek positif amphetamine dan ketamin manakala hasil semakan rekod lampau mendapati seorang suspek mempunyai rekod berkaitan dadah dan jenayah.

Semua suspek katanya, kini direman sehingga Khamis ini bagi siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 manakala dua suspek warga asing, mereka turut disiasat di bawah Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana tinggal lebih masa dan tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah,” katanya.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast